Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemimpin PAS sokong peruntukan sama rata untuk semua ahli parlimen

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemimpin PAS yang juga bekas menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN), Khairuddin Aman Razali menyokong saranan supaya ahli parlimen kerajaan dan pembangkang diberikan peruntukan yang sama rata.

Katanya, peruntukan untuk ahli parlimen adalah hak rakyat di kawasan yang dimenangi oleh seseorang wakil rakyat.

"Ya setuju kerana peruntukan MP (ahli parlimen) adalah hak rakyat di kawasan di mana MP menang.

"Kaedah perbelanjaan boleh dipantau oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (ICU) sebagaimana semua MP kerajaan dipantau untuk ketelusan," katanya kepada Malaysiakini.

Ahli Parlimen Padang Rengas dari Umno, Mohamed Nazri Aziz sebelum ini menegaskan bahawa peruntukan yang sama harus diberikan kepada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang untuk mengembangkan kawasan pilihan raya mereka.

"Kerana kedua-duanya dipilih oleh rakyat dan peruntukan adalah sesuatu yang prorakyat.

"Tidak perlu kita diskriminasi antara ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, sebab semua itu akan pergi kepada rakyat.

"Dan bantuan ini mesti diberi kerana rakyat tidak bersalah dalam dia memilih kerana kita mengamalkan demokrasi," kata Nazri dalam ucapannya di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Khairuddin berkata kerajaan bertemakan "Keluarga Malaysia" pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu mempraktikan politik matang.

"Politik matang dan sejahtera perlu dipraktikkan oleh kerajaan yang bertemakan 'Keluarga Malaysia'," kata wakil rakyat PAS itu.