Lelaki ditahan disyaki cuba seludup 2 tan babi hutan ke negara jiran
Cubaan seorang lelaki untuk menyeludup karkas babi seberat dua tan metrik dipercayai ke negara jiran gagal setelah ditahan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA 7) di Rantau Panjang, Kelantan, semalam.
Pegawai Pemerintah (PGA 7), Azhari Nusi berkata, dalam kejadian sekitar jam 11.36 malam itu, pihaknya ketika membuat rondaan mendapati sebuah van jenis Econovan dalam keadaan mencurigakan.
"Susulan itu, kami telah berjaya menahan van tersebut di hadapan rumah beralamat Kampung Degong, Telaga Mas, Lubok Setol, Rantau Panjang, Kelantan.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas van terbabit, kami telah menjumpai bangkai babi hutan seberat dua metrik tan.
"Selain itu, pemandu juga gagal mengemukakan dokumen yang sah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Azhari, pihaknya menahan pemandu terbabit dan merampas semua bangkai babi berserta van yang digunakan.
Nilai keseluruhan rampasan bernilai RM58,000, katanya.
Dia berkata, laporan polis telah dibuat di balai polis Lubok Setol, Rantau Panjang untuk tindakan dan siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai