Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO: Ramai mangsa keganasan rumah tangga terpaksa kembali kepada pasangan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pandemik Covid-19 menyaksikan lonjakan dalam kes keganasan rumah tangga. Meskipun begitu, dengan hospital sesak dan ekonomi yang meleset, banyak mangsa terpaksa pulang ke pangkuan pasangan masing-masing.

Menurut Pengarah Perkhidmatan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Charlene Murray, dengan hospital memberi fokus kepada kes Covid-19, pusat krisis bersepadu (OSCC) di hospital-hospital kerajaan tidak lagi dapat berfungsi seperti sebelum ini.

Ini kerana pesakit bukan kritikal tidak lagi dibenarkan dimasukkan ke dalam wad semalaman, sekaligus mengurangkan peranan OSCC sebagai tempat perlindungan sementara bagi mangsa.

OSCC merupakan tempat di mana mangsa rogol atau keganasan rumah tangga boleh mendapatkan rawatan, mengumpulkan bukti untuk tindakan undang-undang, membuat laporan polis, mendapatkan perlindungan dan menerima perkhidmatan kaunseling.

“Melainkan seseorang itu datang dengan kecederaan, kebanyakan hospital hanya memberikan rawatan asas buat pesakit OSCC dan tak menggalakkan mereka tinggal semalaman kerana risiko terdedah kepada Covid-19.

“Banyak kali wanita-wanita ini ditolak, mereka tidak diberikan ruang untuk berfikir apa langkah seterusnya. Mereka diminta untuk beredar bagi mengelakkan dijangkiti Covid-19,” katanya kepada Malaysiakini.

Charlene Murray

Kerana takut dijangkiti virus itu, kata Murray, ada wanita-wanita berkenaan yang akan pulang ke rumah masing-masing, dan terlepas peluang untuk keluar daripada keganasan yang dihadapi mereka.

Oleh yang demikian, Murray menggesa kerajaan memastikan OSCC dapat berperanan dengan normal semasa pandemik memandangkan tidak wajar untuk menolak mangsa yang mencari perlindungan sehingga mereka terpaksa pergi ke agensi demi agensi untuk mendapatkannya.

WAO turut mencadangkan sejumlah RM50 juta perlu diperuntukkan dalam Belanjawan 2022 untuk OSCCC, termasuk melaksanakan satu mekanisme pemantauan dan penilaian.

Menurut badan itu, bilangan mangsa yang mencari perlindungan meningkat sebanyak 1.5 kali ganda bagi separuh pertama tahun ini.

WAO telah menyediakan perlindungan buat 61 mangsa keganasan rumah tangga (termasuk wanita dan kanak-kanak) setakat Jun 2021 - meningkat daripada 24 orang untuk tempoh yang sama tahun lepas.

Ia turut menyediakan khidmat nasihat dan bantuan kepada 3,150 aduan bagi separuh pertama tahun ini, termasuk kes rogol, gangguan seksual, mengendap, tiada tempat tinggal dan kes lain.

Hampir separuh atau 1,662 daripada aduan yang dterima melibatkan keganasan rumah tangga.

Pelbagai sekatan pergerakan yang dikenakan bagi mengekang Covid-19 memburukkan lagi keadaan itu.

Siasatan tak ke mana

Selain itu, WAO mendapati dengan sumber banyak disalurkan untuk menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP), kes membabitkan keganasan rumah tangga terabai.

Menurutnya, ramai pegawai penyiasat (IO) daripada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak diberi tugas lain semasa pandemik.

“Banyak kes tak ke mana (in limbo) sehinggalah IO lain ambil alih, atau sehingga IO dipindahkan semula.

”(Hanya) membuat laporan polis saja tak cukup. IO perlu ambil keterangan, membuat proses menahan dan mendakwa pelaku di mahkamah dan memastikan kes itu tidak dibuang.

“Semua ini memerlukan IO ada untuk mengendalikan kertas kerja,” tambah Murray.

Lebih-lebih lagi, katanya, sekatan pergerakan kepada lingkungan 10km, larangan rentas daerah dan rentas negeri, serta mengehadkan waktu operasi pengangkutan awam telah menambahkan kesukaran mangsa untuk mendapatkan bantuan.

“Jika seseorang wanita yang didera mendapati bahawa waktu yang ada untuk dia lari hanyalah di tengah-tengah malam, mungkin kita tak dapat nak bantu dia.

“Kerana dia tak boleh mendapatkan pengangkutan dan kami pun tak dapat nak aturkan pengangkutan untuk dia pergi ke tempat selamat,” katanya lagi.

Kekurangan rumah perlindungan untuk mangsa keganasan rumah tangga - yang kebanyakannya bertempat di Lembah Klang - menyukarkan mangsa di negeri lain kerana sekatan pergerakan.

Katanya, hampir mustahil bagi wanita-wanita ini memohon permit rentas negeri.

Oleh itu, WAO menggesa kerajaan menyalurkan RM30 juta buat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat untuk menubuhkan lebih banyak rumah perlindungan.

Keluar dari bahaya, terjerumus dalam kesempitan

Meskipun setelah berjaya keluar daripada persekitaran yang mendera mereka, Murray berkata mangsa yang mempunyai anak-anak berdepan dilema kewangan, memandangkan pandemik membuatkan peluang pekerjaan menjadi semakin sukar.

Dalam keadaan itu, mangsa mungkin pulang ke pangkuan pelaku keganasan demi anak-anak.

“Susah untuk sesiapa pun memulakan hidup baru, apatah lagi ibu yang sebelum ini sudah lama tak mempunyai pekerjaan tetap.

“Setiap aspek ekonomi sedang terkesan, industri makanan juga. Dulu mereka cari kerja sebagai pekerja kedai makan, tetapi (kini) restoran pun banyak tutup,” tambahnya.

Berdasarkan pengalaman WAO, Murray berkata alasan utama wanita kembali ke pasangan mereka adalah kerana anak-anak.

“Sesetengah mangsa rasa lebih senang untuk kembali ke rumah jika suami sanggup berubah kerana sukar mencari kerja untuk menyediakan keperluan anak-anak,” katanya.

Untuk mengatasi masalah ini, WAO menggesa kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk meningkatkan kemahiran dan program pendidikan buat wanita bagi mempersiapkan diri mereka memasuki dunia pekerjaan formal.

Mereka turut menggesa sebanyak RM76 juta diperuntukkan bagi program penggajian berdasarkan insentif untuk menggalakkan majikan mengambil wanita bekerja, dengan kumpulan rentan seperti ibu tunggal sebagai antara tumpuan.

Ia turut menuntut RM247.5 juta diperuntukkan untuk program penjagaan kanak-kanak, termasuk membina pusat penjagaan dalam komuniti, dan elaun buat pusat itu serta pengasuh yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membeli barangan keperluan seperti makanan dan lampin.

Tak dapat bantuan kewangan

Kata WAO lagi, ramai mangsa keganasan tidak mampu mendapatkan bantuan kewangan daripada kerajaan.

Contohnya, untuk layak menerima Bantuan Prihatin Rakyat, permohonan mestilah untuk satu unit isi rumah.

“Mangsa bagitahu kami mereka tak berani bertanyakan suami tentang bantuan kewangan itu dan memandangkan mereka tak ada kerja, mereka harus bergantung kepada duit yang diberi oleh suami,” kata Murray.

Dia juga membangkitkan yang kebanyakan mangsa yang lari meninggalkan suami tidak melalui prosedur perceraian yang sepatutnya kerana suami mereka tidak bersetuju dengan perceraian tersebut.

“Jika seseorang yang memohon bantuan itu sudah berkahwin dan berdaftar di Jabatan Pendaftaran Negara, mereka tak akan layak jika memohon secara berasingan, tanpa pasangan mereka,” tambahnya.

Dia mencadangkan agar kerajaan membenarkan mangsa keganasan rumah tangga untuk memohon bantuan kewangan dengan menjadikan laporan polis sebagai dokumen sokongan.

Selain itu, WAO menggesa kerajaan memperuntukkan RM22 juta untuk meluaskan lagi skop Jabatan Bantuan Guaman agar dapat memberi bantuan lebih baik kepada golongan B40, kumpulan berpendapatan pertengahan dan bukan warga Malaysia.

Beri pekerja sosial status rasmi

Bagi memperbaiki keadaan sekitar isu keganasan rumah tangga, Murray berkata kerajaan wajar membentangkan Akta Profesion Kerja Sosial - yang lama tertangguh -secepat mungkin.

Katanya, ia dapat memastikan mereka yang dilantik kerajaan dan NGO mempunyai status rasmi sebagai pekerja sosial dan memenuhi piawaian yang diperlukan.

Buat masa ini, katanya, pekerja sosial daripada NGO tanpa kebenaran rasmi dilihat sebagai "masuk campur" dalam kes-kes keganasan rumah tangga.

“Sekarang, apabila kita pergi ke balai polis atau meminta kemas kini, sesetengah pegawai penyiasat keberatan mahu berkongsi maklumat atau menjelaskan situasi,” tambahnya.

WAO juga menggesa kerajaan memperuntukkan RM153.2 juta untuk memperkasa kapasiti pekerja sosial.

Ini termasuklah memperuntukkan 4,000 tempat untuk melantik pekerja sosial, pelindung kanak-kanak dan pekerja sokongan krisis, dan RM1.2 juta peruntukan tahunan buat Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan bilangan pelajar yang belajar dalam bidang kerja sosial.

Malaysiakini telah menghubungi pihak polis, Kementerian Kewangan dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin untuk mendapatkan ulasan berhubung isu yang dibangkitkan.


Jika anda atau sesiapa yang anda kenal sedang berdepan keganasan rumah tangga (atau sebarang bentuk keganasan berasaskan jantina), anda boleh hubungi nombor-nombor berikut untuk mendapatkan bantuan:

WAO Hotline: +603 3000 8858 (24 jam), Tina (WhatsApp): +6018 988 8058 (24 jam)

Talian Kasih: 15999 (24 jam) / +6019 2615999 (WhatsApp)

Telenisa Hotline & WhatsApp: +6012 812 3424

Persatuan Tindakan Semua Wanita (Awam) Hotline & WhatsApp: +6016 237 4221

Women’s Centre For Change (WCC) Hotline: ( WCC Penang) +6011 3108 4001 / 016428 7265 : (WCC Seberang/PPW) +6016 439 0698 / +6016 418 0342

Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (Mers): 999 (24 jam)

Anda juga boleh melawat laman web Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) untuk mendapatkan maklmat berhubung keganasan rumah tangga serta bagaimana untuk mendapatkan bantuan.