Skip to main
Logo Malaysiakini

Doktor kontrak harap KJ tunai janji selesai masalah dalam tempoh 100 hari

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) hari ini berkata mereka akan memberi ruang kepada Menteri Kesihatan yang baru, Khairy Jamaluddin untuk mengendalikan masalah yang dihadapi mereka.

Jurucakap HDK Dr Mustapha Kamal A Aziz memberitahu Malaysiakini yang mereka telah memberi penerangan kepada Khairy berhubung isu yang dihadapi doktor kontrak kerajaan ketika pertemuan dalam talian semalam, dan mereka akan terus berbincang untuk mendapatkan jalan penyelesaian.

"Setakat ini, tiada yang telah dipersetujui (dalam pertemuan semalam). Kita hanya beri penerangan kepada menteri berhubung isu yang dihadapi doktor kontrak, beri beberapa cadangan dan bertukar pandangan.

"Kita akan ada pertemuan susulan. Pada masa itu kita harap rangka tindakan sudah dapat disediakan," katanya, merujuk kepada pelan yang dibincang antara HDK dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Semalam, Khairy dilaporkan mengadakan pertemuan secara dalam talian dengan kumpulan doktor kontrak yang menjadi tulang belakang kepada hartal seluruh negara pada Julai lalu.

Dalam pertemuan itu, Khairy menyatakan komitmen untuk melihat setiap aspek yang dibangkitkan dan berusaha mencapai penyelesaian yang lebih baik.

Pertemuan selama sejam setengah itu disertai kira-kira 20 doktor kontrak serta pegawai KKM, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Setiausaha KKM Mohd Shafiq Abdullah.

Mustapha percaya Khairy perlu diberi masa untuk memahami isu yang berlaku sejak 2016 itu.

"Kita harap Khairy akan berpegang kepada kata-katanya, yang dia akan selesaikan isu ini dalam masa 100 hari (sebagai menteri kesihatan)," katanya lagi, merujuk senarai petunjuk prestasi utama (KPI) menteri itu.

Gerakan HDK mula mendapat momentum pada Julai lalu dengan pekerja kesihatan kontrak mengadakan hartal di seluruh negara pada 26 Julai lalu.

Antara tuntutan mereka adalah penyelesaian kepada kelemahan dalam sistem kontrak yang bermula sejak 2016, seperti keselamatan pekerjaan yang rendah serta prospek kerjaya yang tidak menentu.