Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Saiful: Tiada sebab untuk Kit Siang bimbang Muhyiddin pengerusi MPN

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tiada sebab untuk veteran DAP Lim Kit Siang bimbang dengan peranan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin selabagi pengerusi Majlis Pemulihan Negara, kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Wan Saiful, Muhyiddin menunjukkan rekod kejayaan dengan perancangan menangani wabak Covid-19 yang mula membuahkan hasil hari ini.

Dia memetik beberapa contoh, seperti peratusan vaksinasi yang tinggi dan terus meningkat, bekalan vaksin mencukupi, bantuan berjumlah RM530 bilion kepada rakyat, serta bantuan kepada peniaga kecil dan sederhana untuk memulihkan ekonomi.

“Hakikatnya, kerajaan membuat keputusan yang betul melantik Tan Sri Muhyiddin mengepalai MPN.

“[...] Tak ada sebab nak bimbang dengan peranan Tan Sri Muhyiddin kerana hari ini rekod Tan Sri Muhyiddin ialah rekod kejayaan.

“Yang kita patut bimbang ialah usaha parti aliran sosialis seperti DAP yang tidak diketahui niat sebenarnya,” katanya di Facebook hari ini.

Wan Saiful membalas kenyataan Lim yang menyuarakan keraguan terhadap Muhyiddin yang mempengerusikan MPN yang menurutnya bertanggungjawab terhadap lonjakan kes kematian Covid-19 sebelum ini.

“Saya mempunyai keraguan besar terhadap perkara di mana Muhyiddin Yassin, individu yang bertanggungjawab menyebabkan kekalahan kita dalam perang melawan wabak Covid-19, membawa kepada berjuta kes dan berpuluh ribu kematian akibat Covid-19 yang kini menjadi pengerusi Majlis Pemulihan Negara,” kata Lim di Facebook.

Lim membandingkan tahap penularan wabak Covid-19 - daripada 29 kes dan sifar kematian ketika Muhyiddin mula menjadi perdana menteri pada Mac tahun lalu kepada 1,424,639 kes dengan 12,780 kematian pada hari dia meletakkan jawatan iaitu 16 Ogos lalu.

Dia juga berkata berlaku kurang laporan kematian (under reporting) serta tunggakan kes di hospital, sehingga menurutnya tunggakan itu belum dapat diselesaikan pada masa ini, meskipun selepas sebulan kerajaan dan menteri kesihatan bertukar.

“Sekiranya ada sekurang-kurangnya satu individu yang perlu bertanggungjawab mengenai perkara ini, di mana Malaysia menjadi antara negara yang mencatatkan prestasi terburuk di dunia dalam melawan Covid-19, individu tersebut adalah Muhyiddin Yassin,” kata Lim.

Namun bagi Wan Saiful, apa yang patut dibimbangi adalah DAP sendiri yang didakwanya terus mengelabui mata rakyat Malaysia mengenai agenda dan ideologi mereka.

Dia mempersoalkan agenda sebenar di sebalik penentangan parti itu terhadap usaha kerajaan mengetatkan syarat program Malaysia My Second Home (MM2H).

“Saya sendiri berpandangan memang kita mahu pelabur asing datang ke Malaysia termasuk melalui MM2H. Tapi biarlah dengan syarat-syarat yang ketat supaya tiada salah guna dan mencapai matlamatnya,” katanya.

Untuk rekod, selain ahli parlimen DAP seperti Hannah Yeoh yang menggesa kerajaan mempertimbang semula syarat kelayakan MM2H, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut kecewa dengan keengganan kerajaan menyemak semula syarat ketat baru program itu.