Skip to main
Logo Malaysiakini

Noraini: Universiti Limkokwing disaran mohon semula akreditasi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Pengajian Tinggi telah mengarahkan Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) untuk memohon semula akreditasi penuh untuk beberapa kursus mereka dua bulan yang lalu.

Ini adalah antara langkah yang diambil kementerian untuk membantu pelajar LUCT yang berdepan penangguhan berterusan dalam mendapatkan akreditasi untuk lapan kursus mereka, menurut menteri Noraini Ahmad.

"Pada 14 Julai 2021, KPT telah bermesyuarat bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Education Malaysia Global Service (EMGS) dan LUCT untuk mengenal pasti tindakan-tindakan yang perlu diambil bagi membantu pelajar LUCT yang terkesan.

"Menyantuni kebajikan pelajar-pelajar tersebut, KPT telah mengesyorkan beberapa cadangan kepada pihak LUCT untuk membuat permohonan semula akreditasi penuh dalam kadar segera kepada MQA dengan penambahbaikan terhadap isu jaminan kualiti program bagi program-program terlibat," katanya dalam jawapan parlimen, semalam.

Noraini berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ong Kian Ming (PH-Bangi) mengenai usaha yang diambil kementerian bagi membantu pelajar yang terkesan.

Sementara itu, menurut Noraini, LUCT turut disarankan mengambil tiga langkah lain iaitu:

- Mengadakan sesi penerangan kepada pelajar-pelajar yang terkesan berhubung dengan situasi terkini dan cadangan penyelesaian yang akan diambil bagi memastikan pengajian mereka tidak terjejas.

- Membuat pemetaan kursus bagi pelajar yang berhasrat untuk berpindah ke program lain dengan mendapat pengesahan MQA terlebih dahulu bagi memastikan tindakan yang diambil mengikut prosedur yang ditetapkan.

- Mengambil tindakan segera terhadap pelajar-pelajar antarabangsa dengan membuat pelanjutan atau mendaftar semula agar pas pelajar yang diguna pakai adalah sah.

Pada 29 September 2020, LUCT menjadi perhatian setelah MQA menarik balik akreditasi untuk lapan kursus selepas universiti itu didapati tidak mematuhi syarat piawai yang ditetapkan, menurut Noraini.

Pada awal Mei, Malaysiakini melaporkan pada sidang media yang diadakan oleh para pelajar, di mana mereka mendakwa bahawa banyak kursus ijazah, MBA dan PhD yang ditawarkan oleh LUCT tidak mendapat akreditasi dari MQA dan beberapa kursus lain telah menyebabkan akreditasi mereka dibatalkan.

Pelajar tersebut mendakwa mereka mewakili 840 rakan yang lain.

LUCT ditubuhkan pada tahun 1991 dan dinamakan sempena presidennya Lim Kok Wing yang meninggal dunia awal bulan lalu pada usia 75 tahun.