Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelajar belum divaksin tak dihalang ke sekolah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelajar sekolah yang belum menerima vaksin Covid-19 atau menolak untuk divaksin tidak akan dihalang daripada menghadiri kelas mereka, kata Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon.

Bercakap pada sidang media hari ini, Mah mengatakan keputusan itu diambil kerana setiap pelajar mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan.

"Tak ada sebab untuk kita menolak atau tak benarkan mereka balik ke sekolah.

"Cuma kita akan adakan kaunseling dan sebagainya khususnya pada ibu bapa mereka.

"Sebab seseorang murid itu kalau enggan vaksin biasanya bukan pada murid sendiri tapi lebih pada (keputusan) ibu bapa," katanya.

Mah berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai apakah Kementerian Pendidikan telah memutuskan perkara itu.

Menurut Mah, pihaknya percaya bahawa hanya sebilangan kecil pelajar yang tidak bersedia menerima vaksinasi atau menolaknya.

"Kita masih di tahap awal untuk memvaksinasi pelajar sekolah. Jadi pada ketika ini, kita tidak pasti berapa banyak yang menolak untuk divaksin.

"Saya rasa secara keseluruhan, jumlahnya tidak tinggi. Jadi buat masa ini kita akan pantau dengan teliti," katanya ketika ditanya apakah Kementerian Pendidikan mempunyai rancangan khusus untuk pelajar yang tidak divaksinasi ketika mereka kembali ke sekolah.

Kerajaan minggu ini memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) untuk remaja, yang melibatkan 3.2 juta individu berusia antara 12 dan 17 tahun.

Ia mensasarkan untuk memvaksinasi sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah tersebut menjelang 20 Januari 2022 atau sebelum pembukaan semester baru.

Tidak ada sekolah diketepikan

Mah memberitahu wartawan bahawa tidak ada sekolah atau pelajar yang akan diketepikan dalam program imunisasi, termasuk institusi swasta.

"Prinsip kita pegang, kita ingin seramai mungkin pelajar atau murid dapat ambil vaksin dalam masa terdekat.

"Tak pilih jurusan mana, sekolah mana, tapi menjurus pada pembukan semula sekolah," katanya.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali, yang bercakap pada sidang media yang sama, pengetua sekolah swasta diminta untuk mendaftarkan sekolah mereka dalam program vaksinasi melalui portal Vaksin Anakku.

Dia mengatakan pihaknya akan menggunakan data dari portal itu untuk merancang jadual pemberian vaksin kepada pelajar di institusi swasta.

Azmi juga menasihati ibu bapa untuk mengikuti jadual yang akan diberikan melalui sekolah masing-masing, dan tidak tergesa-gesa ke pusat vaksinasi terdekat.

"Jangan risau, jangan panik. Kita mempunyai cukup vaksin untuk semua orang," katanya.