Skip to main
Logo Malaysiakini

Jais akan persembah senarai nama enggan divaksin pada Sultan Selangor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dijangka mempersembahkan senarai individu yang enggan menerima vaksin di bawah kelolaan pihaknya kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Jumaat ini.

Pengarah Jais Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata ia susulan terdapat kalangan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), pegawai serta ahli jawatankuasa masjid dan penolong pendaftar nikah Jais yang masih enggan menerima vaksin walaupun program khas vaksinasi diwujudkan untuk mereka.

“Saya telah dititahkan oleh Tuanku semalam untuk melaporkan segala fakta tentang program hari ini khususnya mengenai sesiapa yang tidak dan enggan hadir, untuk baginda meneliti dan membincangkan apa tindakan lanjut yang harus diambil,” katanya pada sidang media dalam program vaksinasi khas Jais hari ini yang dihadiri Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Mohd Shahzihan berkata daripada 146 individu yang hadir setakat 11 pagi tadi, hanya 20 peratus daripada jumlah itu bersetuju untuk mendapatkan suntikan dos pertama.

Menurut beliau jumlah sebenar mereka yang diarahkan hadir dalam program dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) itu adalah seramai 872 individu daripada kalangan guru Kafa, pegawai serta ahli jawatankuasa masjid dan penolong pendaftar nikah.

Sementara itu, Dr Sha’ari berkata jika individu yang enggan menerima vaksin hari ini terbuka hati untuk mendapatkan suntikan kelak, mereka boleh hadir ke 53 klinik kesihatan dan 10 hospital yang tersenarai di Selangor untuk mendapat suntikan secara jumpa terus (walk-in).

Katanya pihaknya bersetuju untuk mengadakan program vaksinasi khas seperti yang dijalankan hari ini jika kelompok tersebut bersedia menerima suntikan dalam jumlah yang ramai.

Pada 3 Sept lepas Jais memaklumkan pihaknya bersama JKNS akan melaksanakan program vaksinasi khas bagi guru Kafa, pegawai masjid dan penolong pendaftar nikah yang enggan menerima vaksin Covid-19.

Jais memaklumkan perkara tersebut susulan titah Sultan Sharafuddin mengingatkan guru Kafa di negeri ini yang masih berdegil dan enggan mengambil vaksin Covid-19 bahawa mereka berkemungkinan tidak dibenarkan meneruskan tugas.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shahzihan menasihati usahawan kosmetik Nur Sajat, untuk pulang ke Malaysia bagi menghadapi pertuduhan yang sedang dihadapinya.

Mohd Shahzihan berkata jika Nur Sajat takut untuk pulang ke Malaysia susulan dakwaan menerima ugutan bunuh daripada mana-mana pihak, dia boleh membuat laporan polis agar siasatan berhubung perkara berkenaan dapat dijalankan.

- Bernama