Skip to main
Logo Malaysiakini

K’jaan pertimbang rebat jika lapor keputusan ujian kendiri Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN l Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memberi potongan harga (rebate) kepada mereka yang melaporkan keputusan ujian kendiri Covid-19 mereka.

Mengulas cadangan Kelvin Yii (Bandar Kuching - PH) ketika ucapan penggulungan di Dewan Rakyat, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kemungkinan itu merupakan cara yang terbaik untuk meningkatkan peratusan pelaporan ujian kendiri Covid-19.

“Ini adalah satu masalah yang agak serius kerana kita dapati mereka yang melapor keputusan daripada kit kendiri, tendency untuk mereka melaporkan adalah mereka yang positif. tapi kes-kes negatif ramai yang negatif tak lapor,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, sehingga 21 September, jumlah positif daripada saringan ujian Covid-19 RT-PCR, RT Antigen makmal profesional dan RTK kendiri merupakan 9.95 peratus.

Bagaimanapun Khairy tidak menyatakan jumlah keseluruhan daripada kadar peratusan tersebut.

Malah katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga tidak mempunyai jumlah sebenar berapa ramai yang telah melaksanakan ujian kendiri Covid-19.

“Saya suka pada pandangan Bandar Kuching untuk kita bagi rebat kepada mereka yang melaporkan ujian mereka.

That’s perhaps the only way untuk kita melaksanakan pelaporan kendiri yang lebih tinggi,” katanya.

Yii terdahulu mencadangkan cara kerajaan dapat menggalakkan orang ramai melaporkan keputusan ujian kendiri Covid-19 mereka meskipun ia negatif.

“Saya cadangkan satu rebate, contohnya kerajaan subsidikan sehingga RM10, kita jual RM12. Apabila orang laporkan, RM2 itu akan direbatkan semula,” kata Yii.