Khairy: Imuniti kelompok tak lagi relevan, sasaran kini luaskan vaksinasi
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) untuk golongan remaja adalah penting memandangkan strategi pada masa ini adalah untuk mencapai kadar vaksinasi sebanyak mungkin di negara ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Menurut Khairy, oleh itu sasaran imuniti kelompok tidak lagi menjadi perkara utama selepas penularan varian Delta.
“Sebab tu kita jangan tengok soal imuniti kelompok. Kita kena pastikan liputan (vaksin) itu seluas mungkin.
“Sebab itu Pick remaja sangat penting. Sebab itu kita lihat kepada data ujian klinikal yang dikeluarkan oleh Pfizer berkenaan vaksinasi di kalangan kanak-kanak bawah 15 tahun sebab tak cukup (hanya) 80 peratus, 90 peratus dewasa yang terima vaksin sebab (pada masa sama) kanak-kanak tidak divaksin," katanya ketika ucapan penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.
Katanya lagi, sasaran imuniti kelompok adalah formula konvensional yang dibuat ketika varian Delta - yang dilaporkan lebih bahaya dan mudah tersebar - belum menular.
Jelas ahli parlimen Rembau itu lagi, ancaman penularan varian Delta menjejaskan kadar peratusan asal untuk mencapai imuniti kelompok dan sukar untuk ditafsirkan bila negara dapat mencapainya.
“Sebab itu kita jangan sebut lagi soal imuniti kelompok dan saya rasa pakar di seluruh dunia sudah menghentikan penggunaan imuniti kelompok dalam konteks Covid ni,” katanya.
Vaksinasi untuk golongan remaja telah dimulakan secara rasmi di peringkat kebangsaan pada 20 September dengan menyasarkan 3.2 juta golongan berusia 12 hingga 17 tahun (mengikut tarikh lahir).
Langkah itu sebagai persediaan pembukaan sekolah bagi memastikan risiko jangkitan dapat dikurangkan, sekaligus mencegah kejadian kluster dan kes dalam kalangan warga sekolah.
Setakat semalam, sebanyak 5,964 buah sekolah telah berdaftar dengan portal Vaksin-Anak-Ku.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai