Skip to main
Logo Malaysiakini

Saman Batu Puteh: K'jaan, PM diberi tempoh hingga 8 Okt fail pembelaan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Perdana menteri dan kerajaan diberi tempoh sehingga 8 Oktober untuk mengemukakan pernyataan pembelaan berhubung tuntutan saman mengenai status kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Batu Puteh.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memberikan lanjutan tempoh itu kepada perdana menteri dan kerajaan selaku defendan dalam saman yang difailkan warganegara Malaysia, Mohd Hatta Sanuri.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Hatta memfailkan writ saman itu pada 28 Mei berkaitan tindakan kerajaan menarik balik permohonan Malaysia pada tahun 2018 untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) yang memberikan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Pada 13 Sept, portal berita Free Malaysia Today melaporkan hari ini ditetapkan sebagai perbicaraan di Mahkamah Tinggi berhubung permohonan kedua-dua defendan untuk melanjutkan masa bagi mengemukakan pernyataan pembelaan.

Perdana menteri dan kerajaan kemudian meminta tambahan masa dua bulan untuk mengemukakan pernyataan pembelaan mereka.

Peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi hari ini mengesahkan bahawa hakim Rozana Ali Yusoff memberikan lanjutan masa kepada perdana menteri dan kerajaan sehingga 8 Oktober depan.

"(Lanjutan tempoh) Permohonan dibenarkan (untuk jangka waktu satu bulan dari 8 September hingga 8 Oktober) untuk memfailkan pembelaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanir menambah mahkamah hari ini juga menetapkan pengurusan kes pada 29 Oktober untuk mengemas kini mengenai status peryataan pembelaan oleh kedua-dua defendan.

Ketika dihubungi petang ini, peguam plaintif Mohaji Selamat juga mengesahkan bahawa kedua-dua defendan diberikan lanjutan masa untuk mengemukakan pernyataan pembelaan mereka.

Writ saman Hatta itu menyebut perdana menteri yang tidak dinamakan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan kedua.

Pada penghujung Mei lalu, jawatan perdana menteri disandang oleh Muhyiddin Yassin. 

Namun bulan lalu, Muhyiddin meletakkan jawatan dan tempatnya digantikan oleh Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai perdana menteri kesembilan.

Pada akhir Mei 2018, selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kerajaan PH pimpinan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika itu menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan ICJ, yang merupakan mahkamah tertinggi PBB.

Pemerintah Singapura dilaporkan "gembira" apabila Malaysia memberitahu ICJ pada 28 Mei tahun itu yang Malaysia akan menarik balik permohonan semakan berkenaan.

Pulau berbatu itu dengan ukuran tidak lebih dari separuh padang bola - dikenali sebagai Pulau Batu Puteh di Malaysia dan Pedra Branca di Singapura.

Ia terletak kira-kira 15km dari pantai selatan Semenanjung Malaysia.

Menurut salinan writ saman yang dilihat oleh Malaysiakini, Hatta, 45, selaku pelaintif berkata tuntutan yang difailkan di mahkamah itu adalah bagi pihak dirinya dan 32 juta warganegara Malaysia yang lain.

Menurutnya, semua rakyat Malaysia menerima akibat tindakan secara sepihak daripada defendan menarik balik permohonan semakan ICJ tanpa terlebih dahulu membentangkan dan membincangkannya di parlimen.

Hatta mendakwa kerajaan sehingga kini belum memberikan penjelasan kerana menarik balik permohonan semakan ICJ berdasarkan bukti-bukti baru yang menyokong pihak Malaysia dalam usaha menuntut kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Puteh.

"Ia adalah sangat tidak adil bagi plaintif apabila semakan semula itu ditarik balik begitu sahaja tanpa sebab atau penjelasan, seolah-olah isu tuntutan Pulau Batu Puteh ini merupakan sesuatu perkara yang remeh dan boleh dilepaskan atau dilupakan begitu sahaja sedangkan ia melibatkan kedaulatan negara Malaysia ini.

"Plaintif selaku rakyat serta semua 32 juta lebih rakyat Malaysia lainnya berhak mendapatkan penjelasan mengapa keputusan menarik diri daripada semakan keputusan dan tidak meneruskan prosiding yang dimulakan sebelum ini yang dibuat secara unilateral dan senyap-senyap tanpa sebarang perbahasan atau perbincangan umum dengan semua rakyat Malaysia sebelum keputusan (tarik balik kes) dibuat,” kata Hatta dalam tuntutan samannya.

Plaintif antaranya memohon mahkamah memerintahkan kedua-dua defendan memberikan penjelasan bertulis mengenai alasan penarikan permohonan semakan ICJ dan untuk pengisytiharan bahawa mereka telah cuai dan melanggar kepercayaan semua warganegara Malaysia.

Hatta meminta pengisytiharan agar defendan membayar sekitar RM10 juta ganti rugi (atau berdasarkan pertimbangan mahkamah selanjutnya) kepada warganegara Malaysia.

Katanya, jumlah itu dihitung berdasarkan nilai tanah Pulau Batu Puteh dan kerugian ekonomi yang ditanggung oleh semua rakyat Malaysia, termasuk kepada dirinya.

Dia juga meminta perintah mahkamah, antara lain, supaya defendan mendedahkan secara terperinci jumlah kos yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk menyiapkan permohonan semakan ICJ pada 3 Februari 2017 sehinggalah ke saat para defendan tiba-tiba menarik balik permohonan tersebut seperti yang disahkan oleh ICJ pada 1 Jun 2018 .

Hatta diwakili oleh firma guaman Tetuan Mohaji, Hazury & Ismail.