Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis nafi siasatan kes keganasan rumah tangga terabai

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bahawa siasatan terhadap kes-kes keganasan rumah tangga terabai sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) berikutan anggotanya ditugaskan untuk menangani isu berkaitan Covid-19.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) ACP Siti Kamsiah Hassan berkata pihak polis sentiasa memastikan bahawa setiap daerah mempunyai pegawai penyiasat (IO) yang akan menyiasat kes berkaitan tanpa mengira keadaan.

"Pendekatan PDRM dalam penugasan pegawai penyiasat semenjak dari dulu, di setiap daerah akan sentiasa ada IO yang bertugas bagi mengendalikan kes termasuk kes seksual oleh pegawai penyiasat D11 walaupun negara berdepan dengan apa jua situasi termasuk pandemik covid 19.

"Penugasan bantuan sumber manusia dalam menangani isu covid 19 kebiasaannya tidak melibatkan pegawai penyiasat, setakat ini D11 tidak ada isu ketiadaan IO bertugas disebabkan IO terpaksa menjalankan tugas-tugas lain menangani isu covid 19," katanya kepada Malaysiakini .

Bagaimanapun, Siti Kamsiah mengakui bahagian siasatan terjejas dengan isu Covid-19 apabila terdapat pegawai penyiasat menjadi kontak rapat atau perlu dikuarantin, selain kerja-kerja sanitasi dipejabat.

Pun begitu, dia memberi jaminan bahawa keadaan itu tidak menjejaskan keseluruhan siasatan bagi kes-kes keganasan rumah tangga.

Pada 22 September, Perkhidmatan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menyatakan ramai pegawai penyiasat dari jabatan D11 diberi tugas lain semasa penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP), menyebabkan kes-kes keganasan rumah tangga terabai.

WAO mendakwa pegawai penyiasat tidak dapat menyiapkan kertas kerja dan menjalankan proses menangkap dan mendakwa pelaku di mahkamah.

Tak dapat dedah status siasatan

WAO juga mengatakan tanpa kebenaran rasmi, pekerja sosial daripada NGO dilihat sebagai "masuk campur" dalam kes-kes keganasan rumah tangga.

Justeru Pengarah perkhidmatan WAO, Charlene Murray menggesa kerajaan membentangkan Akta Profesion Kerja Sosial yang lama tertangguh bagi mengatasi perkara itu.

Ketika ditanya, Siti menjelaskan bahawa undang-undang sedia ada menghalang pihak polis daripada mendedahkan hasil siasatan kepada pihak ketiga.

"Sebenarnya siasatan adalah sulit. Pihak polis atau IO tidak boleh sembarangan mendedahkan hasil siasatan atau maklum balas siasatan kepada mana-mana orang termasuk NGO kerana mereka terikat dengan undang-undang dan peraturan.

"Pemakluman mengenai status kes hanyalah kepada pengadu sahaja melalui kaedah pemberitahuan yang ditetapkan," katanya.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun berkata, antara Januari dan Ogos, polis telah menerima sebanyak 4,905 aduan mengenai keganasan rumah tangga.

Ini menunjukkan purata 512 kes sebulan direkodkan pada Ogos tahun ini berbanding purata 438 dan 471 kes setiap bulan pada 2020 dan 2019.