Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tak adil syarat 51 peratus ekuiti bumiputera hanya untuk syarikat tempatan'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tindakan kerajaan pusat meminta syarikat tempatan yang menceburi Perkhidmatan Logistik Bersepadu Antarabangsa (IILS) memberi milikan ekuiti sebanyak 51 peratus kepada bumiputera dianggap tindakan tidak adil.

Hal itu kerana, Adun Kota Kemuning V Ganabatirau, maklumat yang diperolehinya menunjukkan syarat tersebut hanya dikenakan ke atas syarikat tempatan.

"Mengikut surat daripada Kementerian Kewangan, semua syarikat tempatan dikehendaki berbuat demikian manakala syarikat-syarikat asing dan syarikat-syarikat yang tersenarai di di Bursa Malaysia pula dikecualikan daripada syarat berkenaan.

"Tindakan ini perlu dikecam kerana ia bersifat berat sebelah dan mengutamakan syarikat asing di samping menganaktirikan syarikat tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia yang juga exco Selangor berkata demikian susulan desakan Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) agar kerajaan menjelaskan dasar itu - yang belum diperincikan walaupun ia perlu dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Mengikut peraturan semasa, syarikat penghantaran barang dengan lesen kastam yang didaftarkan sebelum 1976 dikecualikan daripada sebarang peraturan ekuiti bumiputera.

Bagi syarikat yang berdaftar antara 1976 dan 1990 pula, ia mesti mempertuntukkan 30 peratus ekuiti bumiputera dan syarikat yang didaftarkan selepas 1990 mesti memperuntukkan 51 peratus ekuiti bumiputera.

Syarikat yang mempunyai lesen kastam IILS pula tidak terikat dengan peraturan itu.

Kementerian Kewangan tahun ini mengatakan bahawa keperluan ekuiti bumiputera akan dikenakan kepada semua pemegang lesen, termasuk yang memiliki IILS.

"Apakah perlu Kementerian Kewangan menetapkan syarat sebegini? Ini akan memaksa syarikat-syarikat tempatan menjual ekuiti mereka kepada bumiputera dan tidak lagi memiliki saham majoriti padahal syarikat-syarikat ini dibina atas hasil titik peluh mereka.

"Sepatutnya Kementerian Kewangan melindungi syarikat-syarikat tempatan dengan memberikan pengecualian pemilikan ekuiti dan bukannya mendesak syarikat-syarikat melepaskan pemilikan majoriti.

"Saya berharap kerajaan meneliti semula keputusan ini dan tidak menunjukkan diskriminasi antara syarikat tempatan dan syarikat asing.

"Jangan rosakkan perniagaan syarikat-syarikat tempatan terutamanya syarikat pemilikan bukan bumiputera," katanya.