Skip to main
Logo Malaysiakini

MMA: Arah pekerja kesihatan lapor warga asing hadir PPV beri isyarat salah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kekecewaan terhadap arahan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar pekerja kesihatan memaklumkan pihak berkuasa jika warga asing tanpa dokumen hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV).

MMA berkata, arahan itu menghantar isyarat yang salah dan boleh menjejaskan usaha vaksinasi negara.

"Ia pastinya akan menghalang usaha kita untuk memberi vaksin kepada semua orang dalam komuniti," kata Presiden MMA Dr koh Kar Chai dalam kenyataan hari ini.

Pada 24 September lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin pekerja kesihatan perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa jika warga asing tanpa dokumen hadir ke kemudahan kesihatan dan PPV.

Hamzah juga berkata arahan itu adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) vaksinasi yang telah dipersetujui kabinet pada 30 Julai.

Katanya, kerajaan antara lain telah setuju bahawa maklumat berkenaan warga asing tanpa dokumen perlu direkodkan berdasarkan pekeliling umum daripada ketua pengarah kesihatan.

Pada Julai lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata garis panduan berkenaan vaksinasi pelarian dan warga asing tanpa dokumen telah diluluskan.

Dia juga menggalakkan mereka ke PPV yang dikendalikan NGO.

Terdapat kebimbangan dan keraguan di kalangan golongan itu selepas sejumlah kementerian menghantar isyarat berbeza berhubung vaksinasi terhadap mereka, susulan beberapa penguatkuasaan terhadap mereka ketika penularan wabak Covid-19.