Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis akan guna data MySejahtera tangkap individu langgar kuarantin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah meminta Kementerian Kesihatan untuk memberikan data masa nyata MySejahtera agar individu yang melanggar arahan kuarantin kendiri boleh ditangkap.

Ia selepas pihak berkuasa mengesan 523 daftar masuk aplikasi itu daripada mereka masih dalam kuarantin di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).

Menurut menterinya Hamzah Zainudin, sebanyak 18 peratus daftar masuk oleh kalangan yang melanggar perintah kuarantin berlaku di pasar raya.

"Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan Pematuhan SOP (JKPS) telah meminta Kementerian Kesihatan untuk menyalurkan maklumat berhubung pelanggaran perintah HSP secara serta merta kepada polis bagi tujuan penguatkuasaan di lapangan," katanya dalam sidang media hari ini.

Dia berkata dengan data itu, polis boleh menangkap mereka yang melanggar perintah kuarantin ketika masih di luar atau ketika di rumah.

Katanya lagi, perniagaan yang membenarkan mereka ke premis juga mungkin akan dikenakan tindakan.

Pada 15 September lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sebanyak 500 daftar masuk selama seminggu di Kedah didapati melanggar perintah kuarantin.

Ia melibatkan individu yang positif Covid-19 atau berisiko tinggi yang diarahkan untuk kuarantin.

Khairy juga berkata ada keperluan untuk memperketat pemeriksaan status MySejahtera di semua premis, terutama di pasar raya, bagi menjamin mereka yang di bawah HSO tidak dibenarkan masuk.