Skip to main
Logo Malaysiakini

Enggan pencemaran berulang, penduduk Kg Jenjarom bantah kilang bateri dibuka semula

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sekumpulan penduduk Kampung Jenjarom di Kuala Langat, Selangor hari ini mengadakan protes terhadap pembukaan semula kilang bateri di sana.

Penduduk dan aktivis berkumpul di pejabat Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) pagi ini untuk berjumpa dengan Yang Dipertua MPKL Amirul Azizan Abdu Rahim untuk menyuarakan bantahan.

Pada tengah hari, mereka ke kilang yang terletak di Jalan Sukepi bersama-sama pegawai MPKL dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). Kehadiran mereka disambut wakil pengurusan kilang yang kemudian menunjukkan keadaan kilang.

Polis dikerahkan untuk memantau keadaan di kilang, yang sebelum ini ditutup pihak berkuasa setelah pengendali terdahulu didapati bertanggungjawab atas pencemaran plumbum pada 2019.

Sebuah syarikat lain, Federal Power Holdings Sdn Bhd dilaporkan membeli kilang itu dan merancang untuk membukanya semula, kali ini untuk pengeluaran bateri solar.

Wakil penduduk, Mohd Nazri

Para penduduk berkata mereka bimbang akan kesan operasi kilang itu terhadap kesihatan mereka.

"Isunya bukan sekadar pencemaran di sekitar kilang.

"Kebimbangan utama adalah kesihatan lebih 9,000 penduduk kampung, termasuk lebih 3,000 pelajar sekolah menengah dan 150 kanak-kanak di tadika," kata wakil penduduk, Mohd Nazri Afrizal kepada Malaysiakini setelah memeriksa kilang.

Nazri berkata, dia dan penduduk lain terkejut dan kecewa apabila kerajaan negeri meluluskan operasi kilang tanpa mendengar suara mereka.

"Kami hanya diundang ke sini seperti tunggul, kami datang atau tidak, kilang telah diluluskan.

"Mungkin kerajaan Selangor fikir kesihatan penduduk bukan isu penting," keluhnya.

Penduduk dan pengurusan bertikam lidah

Ketika pemeriksaan kilang, wakil pengurusan bertikam lidah dengan Nazri dan anggota Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat berhubung tahap keselamatan kilang.

Pihak pengurusan berkata mereka melaksanakan usaha yang wajar untuk memastikan alam sekitar tidak terancam dalam permohonan mereka untuk lesen operasi daripada MPKL, dan mereka patut diberi peluang untuk membuktikannya.

Namun penduduk tidak menyambut baik penjelasan itu, dengan meragui kapasiti pengendali kilang. Mereka juga bertikam lidah dengan pegawai MPKL berhubung kelulusan yang diberikan.

Kebanyakan mesin milik pengendali sebelumnya dilihat masih ada di situ. Bagaimanapun pengendali baru berjanji akan membuangnya tidak lama lagi.

Ketua Jabatan Perlesenan MPKL Nordila Yasir mempertahankan keputusan mengeluarkan lesen operasi kepada pengendali baru.

Dia berjanji sebaik saja pengendali baru membuang mesin lama - yang kebanyakannya melanggar peraturan JAS - dan kelengkapan baru dipasang, penduduk akan sekali lagi diundang untuk memeriksanya.

"Kami akan minta pengendali kilang buat libat urus selepas ini dan penduduk akan boleh periksa (kilang)," katanya kepada pemberita.

Setiausaha Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat, Pua Lay Peng

Memorandum kepada MPKL

Dalam pertemuan di pejabat MPKL, wakil NGO yang menyokong penduduk kampung turut menyerahkan memorandum kepada Amirul.

Memorandum itu antara lain mendesak MPKL menarik balik lesen operasi yang diberikan, dengan menegaskan rekod buruk kilang itu dalam mematuhi peraturan berkaitan alam sekitar.

Memoradum itu juga berkata MPKL sepatutnya mengundang pertubuhan masyarakat sivil pada masa akan datang untuk mendapatkan pandangan berhubung sebarang projek yang berisiko mengancam keselamatan penduduk dan keseimbangan alam sekitar.

Pihak NGO berkata walapun kilang baru tidak lagi mengeluarkan bateri plumbum, ia masih tidak menjadi jaminan kepada penduduk.

"(Pengendali) kilang lama tidak dedahkan yang mereka jalankan peleburan plumbum, namun ia tetap dilakukan," kata mereka.

Mereka juga mahu MPKL menunjukkan semua laporan kajian daripada agensi kerajaan pada 2019 yang membawa kepada keputusan membatalkan lesen kilang bateri itu.

Kata mereka lagi, kilang industri berat tidak sepatutnya dibenarkan beroperasi di lot industri ringan.

"Terutama untuk kilang yang telah langgar undang-undang dan mencemarkan kawasan sekitar," kata mereka lagi.

Memorandum disokong 11 NGO termasuk C4 Centre, Five Arts Centre, Greenpeace Malaysia, Misi: Solidariti, Parti Sosialis Malaysia, Persatuan Aktivis Sahabat Alam, Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam, Sahabat Alam Sekitar Malaysia, Treat Every Environment Special dan Suaram.