Skip to main
Logo Malaysiakini

250 lagi korban Covid-19, kematian terkumpul 24,931

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

COVID-19 | Kementerian Kesihatan melalui repositori data di Github melaporkan sejumlah 250 kematian Covid-19 semalam (24 Sept), menjadikan jumlah kematian terkumpul 24,931 korban.

Daripada kematian yang baru dilaporkan semalam, 19.60 peratus atau 49 meninggal dunia sebelum mereka sempat menerima rawatan di hospital.

Selangor mencatatkan jumlah kematian baru tertinggi dengan 65 korban, menjadikan 26.00 peratus kematian yang baru dilaporkan.

Baki kematian adalah di Sabah (43), Johor (41), Pulau Pinang (20), Sarawak (16), Kelantan (14), Perak (14), Pahang (9), Kedah (6), Terengganu (6), Kuala Lumpur (6), Negeri Sembilan (4), Melaka (3) dan Perlis (3).

Tiada kematian baru dilaporkan di Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 170 daripada 250 kematian yang dilaporkan berlaku dalam tujuh hari terakhir. Semalam, hanya sembilan kematian yang berlaku.

Baki kematian berlaku lebih dari seminggu yang lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana tunggakan dalam pelaporan data.

Rata-rata 337 kematian Covid-19 dilaporkan setiap hari dalam 30 hari terakhir berbanding dengan purata tujuh hari sebanyak 313 kes, menunjukkan aliran menurun.

Sehingga kini, 8,276 kematian Covid-19 telah dilaporkan pada bulan ini, menjadikan September sebagai bulan paling 'berdarah' sejak bermulanya wabak itu pada Januari tahun lalu.

Sebanyak 7,642 kematian Covid-19 dilaporkan pada bulan Ogos, 3,858 pada bulan Julai, 2,380 pada bulan Jun dan 1,302 pada bulan Mei.

Setakat semalam, terdapat 195,837 kes Covid-19 yang aktif. Ini pengurangan 11.52 peratus berbanding 221,339 jangkitan aktif pada seminggu yang lalu.

Pun begitu, berbanding dengan 30 hari yang lalu, jumlah kes aktif telah menurun sebanyak 25.90 peratus daripada 264,295.

Sebelum ini, KKM mengeluarkan statistik kematian bersama dengan kes baru Covid-19 baru pada waktu petang. Kaedah pengumuman ini telah berubah.

Statistik kematian kini dikeluarkan pada hari berikutnya pada jam 2 pagi. Malaysiakini melaporkannya pada waktu pagi.