Skip to main
Logo Malaysiakini

Hadkan lesen memandu warga emas cadangan peribadi pegawai - IGP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata cadangan seorang pegawai kanan polis agar kerajaan mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas merupakan pandangan peribadi.

Ini susulan cadangan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Azisman Alias  agar warga emas menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan mereka layak mendapatkan lesen memandu untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya.

"Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) pada 24 September telah menyuarakan cadangan agar lesen memandu bagi warga emas dihadkan.

"Saranan tersebut merupakan cadangan peribadi beliau di peringkat dalaman JSPT sahaja dan belum lagi dibincangkan secara mendalam," kata Acryl dalam satu kenyataan hari ini.

Acryl berkata sebarang kaedah keselamatan baru hanya akan dilaksanakan setelah menjalani proses kajian serta diputuskan pelaksanaannya oleh kesemua pihak berkepentingan.

"JSPT sebagai jabatan Polis Diraja Malaysia yang terlibat dalam memastikan keselamatan jalan raya, sentiasa melihat kepada kaedah-kaedah meningkatkan keselamatan demi kepentingan masyarakat," katanya.

Semalam Azisman berkata faktor kesihatan menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya, terutama di kalangan warga emas.

“Apabila mencapai usia warga emas, banyak penyakit yang datang, antaranya penyakit Alzheimer dan penglihatan tidak terang. Faktor ini secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya.

"Terdapat kes sebelum ini seorang warga emas memandu kenderaan dengan memasuki lorong motosikal. Maka kerajaan perlu meneliti dan mengkaji berhubung pengeluaran LKM kepada golongan warga emas,” katanya.