Skip to main
Logo Malaysiakini

Sultan Johor bangkit isu MM2H ketika terima PM mengadap

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar membangkitkan isu Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) ketika berkenan menerima mengadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Istana Pasir Pelangi, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah kerajaan perlu menyegerakan semakan semula syarat ketat MM2H yang ditetapkan baru-baru ini.

Titah baginda, Johor merupakan antara destinasi utama pelaburan asing, selain negeri ini juga antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Johor bukan sahaja berjiran dengan Singapura, malah Program MM2H adalah antara penyumbang kepada kekuatan ekonomi negeri.

“Kaji semula syarat ketat yang ditetapkan sebelum ini dan kekalkan juga syarat lama dengan membuat berapa penambahbaikan supaya ia dapat memberikan imbangan positif khususnya pertumbuhan ekonomi,” titah Sultan Ibrahim.

Ini merupakan kali pertama Ismail Sabri melawat Johor selepas menjadi perdana menteri 21 Ogos lalu.

Ketibaan Ismail di istana Sultan Johor jam 11.44 pagi tadi diiringi Menteri Besar Johor Hasni Mohammad.

Pada 17 Sept lalu, Sultan Johor bertitah baginda duka cita dengan keengganan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyemak semula syarat ketat baru Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Menurut Sultan Ibrahim, sebelum ini baginda telah bertitah kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin supaya menyemak semula syarat baru tersebut.

Johor adalah antara destinasi popular MM2H, dan menyumbang kepada pendapatan negeri.

Di bawah syarat kelayakan MM2H yang baru, pendapatan bulanan minimum peserta dinaikkan 400 peratus iaitu daripada RM10,000 kepada RM40,000.

Deposit tetap minimum juga dinaikkan daripada RM150,000 kepada RM1 juta.