Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Saiful: PN tak akan terkesan jika pertembungan banyak penjuru

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan membayangkan Perikatan Nasional tidak akan terkesan sekiranya berlaku pertembungan beberapa penjuru di antara gabungan tersebut ketika pilihan raya umum ke-15 nanti.

Menurutnya, meskipun tidak pasti sama ada Umno akan turut bersama dalam gabungan itu pada PRU15 nanti, Wan Saiful berkata PN perlu meneruskan kelangsungan bersama parti gabungan sedia ada - PAS, Gerakan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

“Bagi saya, kita teruskan agenda perpaduan politik Melayu Islam demi kemakmuran rakyat semua bangsa dan agama, dan biar rakyat membuat penilaian.

“Fokus kita adalah PN, kuatkan PN untuk jaga rakyat, dan memulihkan negara.

“PN tidak akan terkesan sekiranya ada pertembungan banyak penjuru. Kita akan jalan terus bersama founding partners kita dalam PN iaitu PAS, Gerakan, SAPP dan STAR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Bersatu dan juga Pengerusi PN Muhyiddin Yassin baru-baru ini, yang memberikan pandangan terhadap beberapa perkara penting yang melibatkan kerjasama gabungan parti dalam PN di peringkat Dewan Undangan Negeri, Parlimen dan nasional.

“PN telah meletakkan standard yang tinggi kepada negara. Kita bertegas kepada isu ketelusan, integriti, menolak salahlaku dan menolak penyelewengan.

“Saya menyeru semua komponen PN untuk membina jentera pilihan raya secara bersama.

“Semangat ukhuwah dan Keluarga Malaysia harus kita jiwai dan zahirkan dalam perjuangan membela rakyat. Jangan berpecah. Bina kekuatan parti dan gabungan kita demi rakyat,” kata Wan Saiful. 

Untuk rekod, hubungan antara Umno dan Bersatu tegang selepas kedua-dua parti itu bergabung untuk mengambil alih kuasa daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.

Kemuncaknya, Umno yang diketuai presidennya, Ahmad Zahid Hamidi pada Ogos lalu menarik balik sokongan terhadap PN sebagai usaha untuk mendesak perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin, yang juga pengerusi Bersatu, meletakkan jawatan.

Bagaimanapun kerjasama politik itu dilihat bertaut semula selepas tempat Muhyiddin digantikan oleh Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob.