Laporan akhir MA63: Apa yang mahu disembunyikan Putrajaya, tanya PH
Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini mempersoalkan motif kerajaan pusat enggan mendedahkan laporan akhir Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selepas kajian mengenainya selesai dibuat.
Dalam kenyataan bersama hari ini PH Sabah berkata langkah itu menunjukkan Putrajaya mahu 'menguburkan' laporan akhir berkenaan menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA).
"Apa yang yang hendak disembunyikan? MA63 adalah perkara yang paling kerap kali dibincangkan secara terbuka di negara ini," kata mereka.
Kenyataan itu ditandatangani Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew, Wilfred Madius Tangau (Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu - Upko), Frankie Poon Ming Fung (DAP) dan Lahirul Latigu (Amanah).
Pada 23 Sept lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili mengesahkan kerajaan tetap dengan pendirian bahawa tiada keperluan untuk mereka mendedahkan laporan akhir MA63 kepada umum.
Menyatakan hal itu di Dewan Rakyat, Maximus berkata, perkara itu dipersetujui memandangkan isi kandungan dan perbincangan yang direkodkan bersifat teknikal, bertaraf rahsia rasmi kerajaan dan masih dalam proses perundingan.
Menurut PH Sabah sebagai menteri yang berasal dari Sabah Maximus sepatutnya memastikan MA63 dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya.
Ketelusan pernah terlihat
PH Sabah juga berpendapat pendedahan laporan berkenaan kepada umum adalah peluang untuk rakyat Malaysia menghayati dan memahami kepentingan MA63.
"Kesilapan tafsiran sejarah dan fakta mengenai MA63 menjadi salah satu sebab mengapa pelaksanaan sepenuhnya perjanjian tersebut masih menjadi cabaran meskipun setelah 58 tahun pembentukan Malaysia.
"Sudah tiba masanya kerajaan persekutuan mengambil pendekatan yang bertanggungjawab dengan menyatakan fakta sebenar.
"Telah banyak kekhilafan yang dilakukan dalam perlunturan hak-hak Sabah dan Sarawak selama ini," kata mereka.
Semasa PH menjadi kerajaan, kata gabungan itu, 17 daripada 21 perkara yang dibentangkan kerajaan Sabah dan Sarawak menerusi mesyuarat jawatankuasa khas kabinet untuk mengkaji pelaksanaan MA63 telah dipersetujui bersama.
Baki empat perkara lagi, kata mereka, masih dalam perbincangan iaitu mengenai isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum; mineral minyak dan medan minyak; Akta Laut Wilayah 2012 dan hak negeri ke atas pelantar benua.
Kata PH Sabah, ketelusan dapat dilihat dalam perbincangan di antara Putrajaya dan kerajaan negeri ketika itu.
Komposisi jawatankuasa-jawatankuasa yang dibentuk juga, menurutnya, diumumkan kepada orang ramai.
"Namun, perkara yang sama tidak boleh dikatakan terhadap kerajaan persekutuan sekarang dan kerajaan PN sebelumnya.
"Orang ramai tidak dimaklumkan tentang kewujudan dan komposisi mana-mana jawatankuasa malah tidak ada penjelasan terperinci atau ketelusan mengenai usaha yang dilakukan untuk meneruskan pelaksanaan MA63," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai