Skip to main
Logo Malaysiakini

China sambut eksekutif Huawei, Trudeau lega Beijing bebas rakyat Kanada

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

GLOBAL | Ketua Pegawai Kewangan Huawei, Meng Wanzhou tiba di China pada hari Sabtu, mengakhiri pertarungan ekstradisi AS selama tiga tahun, lapor Reuters.

Pada hari sama dua warga negara Kanada yang ditahan oleh Beijing selama lebih dari 1,000 hari pulang ke rumah.

Menurut Reuters, pembebasan ini berpotensi membuka jalan untuk memperbaiki hubungan antara China dan dua sekutu barat.

Meng anak perempuan pengasas Huawei Technologies, Ren Zhengfei, dibenarkan pulang setelah mencapai persetujuan dengan pendakwa raya AS pada hari Jumaat untuk mengakhiri kes penipuan bank terhadapnya.

Dua warga Kanada yang ditahan oleh pihak berkuasa China hanya beberapa hari selepas penangkapan Meng - Michael Kovrig dan Michael Spavor - di sambut di landasan lapangan terbang oleh Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau setelah mereka mendarat di Calgary.

"Anda telah menunjukkan kekuatan, daya tahan dan ketabahan yang luar biasa," kata Trudeau pada catatan Twitter dengan gambar sambutan kepulangan mereka.

Di bandar selatan China, Shenzhen, Meng mengenakan gaun berwarna merah lambang semangat patriotik ketika dia keluar daripada pesawat dengan sambutan hadirin yang menunggu.

"Saya akhirnya pulang," kata Meng, lapor akhbar Global Times yang disokong oleh Parti Komunis China.

"Penantian di negara asing penuh dengan penderitaan. Saya tidak terkata apa-apa ketika kaki saya menjejakkan kaki ke tanah China."

Media negara China menyambut kepulangan Meng tetapi tidak bersuara mengenai Kovrig dan Spavor, yang dibebaskan beberapa jam selepas Meng dilepaskan pada hari Jumaat.

Huawei pada satu kenyataan dipetik Reuters berkata firma itu "menantikan Meng pulang dengan selamat untuk bersatu kembali dengan keluarganya."

Pihaknya berkata akan terus mempertahankan diri daripada pertuduhan AS.

Perjanjian antara pendakwaan AS dan Meng membuka kritikan terhadap pentadbiran Presiden AS Joe Biden yang dituduh 'menyerah' kepada China dan salah satu syarikat utamanya.

Sebilangan senator Republikan, kata laporan Reuters dengan cepat mengutuk pembebasan Meng dan mendesak Rumah Putih untuk membahaskan perkara itu di Kongres AS.

Pun begitu, beberapa pengulas China berpendapat sebaliknya.

"Dengan bersetuju mengizinkan Meng kembali ke China, pentadbiran Biden memberi isyarat ia berharap dapat membersihkan kekacauan yang ditinggalkan oleh bekas pentadbiran Trump," kata Wu Xinbo, dekan Institut Pengajian Antarabangsa di Universiti Fudan, lapor Reuters lagi.

Gambar fail, Joe Biden dan Xi Jinping.

Meng ditahan pada bulan Disember 2018 di Vancouver setelah mahkamah New York mengeluarkan waran tangkap, mengatakan dia cuba menutup kegiatan syarikat berkaitan Huawei menjual peralatan kepada Iran yang melanggar sekatan AS.

Pemangku peguam AS Nicole Boeckmann mengatakan Meng telah "bertanggungjawab atas peranan utamanya dalam melancarkan skema untuk menipu institusi kewangan global."

Jurucakap kementerian luar China, Hua Chunying pada ketika itu mengatakan tuduhan terhadapnya telah "direka" untuk menekan industri berteknologi tinggi negara itu.

Kementerian Luar China tidak memberikan komen secara terbuka mengenai pembebasan Meng.

China sebelum ini menafikan terlibat dalam "diplomasi tebusan", menegaskan penangkapan dan penahanan warga Kanada itu yang dituduh menjadi perisik tidak berkaitan dengan prosiding terhadap Meng.

Spavor dituduh memberikan gambar peralatan ketenteraan kepada Kovrig dan dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun pada bulan Ogos. Kovrig pula masih menunggu hukumannya.