Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas MP Balik Pulau mahu buat kemunculan semula dalam PRU15

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas ahli Parlimen Balik Pulau dari PKR, Yusmadi Yusoff menawarkan diri untuk kembali bertanding dalam PRU akan datang.

Yusmadi yang kini seorang senator berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan rakan dan ahli keluarga yang mahukan dia kembali ke arena politik.

"Selepas mempertimbangkan pandangan kawan-kawan dan juga selepas mengambil kira nasihat dan pandangan keluarga, terutama ibu dan isteri, saya dengan rendah diri berpendirian untuk menyahut saranan untuk kembali menawarkan diri di pilihan raya akan datang.

"Selepas lebih 20 tahun bersama perjuangan reformasi, saya percaya perubahan politik adalah sangat penting dan perlu diteruskan," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dia juga mengundang mana-mana pihak yang mahu membantunya bagi matlamat itu.

"Segala bantuan, kepakaran, sumber kewangan dan material amat diperlukan. Ini hanya dapat dilakukan jika terdapat semangat muafakat yang kuat di kalangan rakyat dan pemimpin yg mempunyai cita-cita dan misi yang sama.

"Kepada yang mempunyai cita-cita dan misi yang sama dan percaya kepada kemampuan kita bersama, anda boleh DM (pesanan) nama dan nombor telefon. Saya akan hubungi anda untuk berbincang langkah seterusnya," katanya lagi.

Yusmadi, 46, memegang ijazah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pertama kali bertanding di kerusi Parlimen Balik Pulau pada PRU 2008.

Dalam PRU itu, Yusmadi mengalahkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Norraesah Mohamad dengan majoriti 708 undi.

Yusmadi memperolehi 15,749 undi berbanding Norraesah yang mendapat 15,041 undi.

Bagaimanapun pada PRU13, Yusmadi tidak dicalonkan PKR untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Dia sebaliknya digantikan dengan Mohamad Bakhtiar Wan Chik yang tewas kepada bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Hilmi Yahaya.

Bagaimanapun Mohamad Bakhtiar kembali merampas kerus Parlimen itu pada PRU 2018.

Dalam pada itu, Yusmadi berkata dia menawar diri untuk bertanding kerana ingin mengubah nasib masyarakat melalui politik dan yakin cabaran pada PRU akan datang berbeza dengan yang sebelumnya.

"Saya percaya masih ramai pemimpin lebih hebat dan layak daripada saya untuk memimpin anda. Saya hanya ingin menjadi tawaran alternatif dan sanggup bersaing secara sihat dengan bakat-bakat hebat negara.

"Saya bercadang untuk memulakan gerak kerja awal mengambil kira masa yang terhad dan persediaan yang perlu dibuat terutama orang biasa seperti saya yang tidak mempunyai nama besar dan sokongan dana besar seperti calon-calon lain," katanya lagi.