Skip to main
Logo Malaysiakini

Khalid bidas dakwaan pernah beri sokongan pada pemaju mohon tanah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad membidas dakwaan dia pernah membantu syarikat swasta mendapatkan kelulusan pemindahan satu lot tanah ketika menjadi menteri wilayah persekutuan pada 2019.

Khalid berkata, dakwaan yang disiarkan sebuah portal itu tidak menyatakannya secara terperinci, justeru dia tidak boleh memberi apa-apa penjelasan.

"Jika diberikan butiran secara terperinci tentang surat (sokongan) itu, saya boleh memberikan respons ke atas dakwaan itu dan memberikan penjelasan mengenainya.

"Saya memohon mereka mendedahkan secara terperinci tentang surat itu supaya dapat saya respons," katanya dalam kenyataan hari ini.

Walaupun tidak menyebut portal itu secara khusus, dia dipercayai merujuk kepada MalaysiaNow yang menyiarkan dakwaan itu pada 24 September lalu.

Laporan itu antara lain mendakwa syarikat tersebut menulis surat kepada Khalid enam bulan selepas PH menjadi kerajaan, bagi memohon sebuah plot tanah di Kuala Lumpur untuk projek pembangunan bercampur.

Ia turut mendakwa Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan meluluskan permohonan itu pada Disember 2017 sebelum membatalkannya pada November 2018.

Syarikat itu kemudian didakwa menulis surat secara terus pada Khalid sebulan kemudian, dan Khalid secara peribadi memastikan surat itu "ditandatangani sendiri oleh pembantunya dan datuk bandar".

Menurut MalaysiaNow, pihaknya telah melihat salinan surat itu.

Laporan itu juga mendakwa Khalid turut menulis nota kepada ketua setiausaha negara dan datuk bandar Kuala Lumpur pada November 2019 berhubung perkara sama.

Bagaimanapun, Khalid berkata setakat pengetahuannya, dia tidak memberikan sebarang sokongan atau kelulusan kepada sebarang projek atau kontrak seumpama itu.

"Namun perlu saya ingatkan, semoga tragedi yang berlaku kepada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Mukhriz Mahathir membuat onar, tiba-tiba menteri besar sebelumnya (Mukhriz) pula yang terkena, tidak berulang dalam kes ini," katanya lagi.

Dia merujuk dakwaan Sanusi bahawa sebanyak RM13 juta dipindahkan daripada Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah ke akaun bank luar negara semasa pentadbiran Mukhriz.

Menafikan perkara itu, Mukhriz mencabar Sanusi agar membuat kenyataan rasmi untuk memperincikan dakwaan itu dan membuat laporan polis.

Menurut laporan The Vibes, Mukhriz juga berkata dakwaan yang dibuat Sanusi itu membayangkan dakwaan pindahan wang itu berlaku ketika pentadbiran menteri besar sebelumnya, iaitu Ahmad Bashah Md Hanipah.

Sanusi kemudian menjelaskan dia tidak mendakwa Mukhriz terlibat dalam perkara itu, tetapi hanya berkata ia berlaku ketika pentadbirannya.