Skip to main
Logo Malaysiakini

Mayat individu didakwa menculik digantung secara terbuka di Afghanistan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

GLOBAL | Pihak berkuasa Taliban di Herat dilaporkan membunuh empat individu yang didakwa menculik dan menggantung mayat mereka secara terbuka sebagai peringatan kepada orang lain.

Timbalan Gabenor Herat, Sher Ahmad Ammar dipetik Reuters sebagai berkata, empat lelaki itu menculik seorang peniaga tempatan dan anaknya dan cuba membawanya keluar daripada bandar itu.

Bagaimanapun, katanya lagi, mereka dikesan peronda di tempat pemeriksaan di situ, menyebabkan insiden berbalas tembakan yang menyebabkan keempat-empatnya terbunuh dan seorang askar Taliban cedera.

"Mayat mereka dibawa ke pusat bandar dan digantung sebagai pengajaran kepada penculik lain," katanya sambil memaklumkan dua mangsa tidak mengalami kecederaan.

Dalam wawancara bersama Associated Press sebelum ini, pemimpin kanan Taliban Mullah Nooruddin Turabi berkata pihaknya akan mengembalikan hukuman seperti hukum bunuh dan memotong anggota badan, bagi menghentikan jenayah seperti rompakan, pembunuhan dan penculikan.

Kenyataan itu mendapat kecaman antarabangsa.

Menurut Reuters lagi, penduduk Herat, Mohammad Nazir berkata dia sedang membeli makanan ketika mendengar pengumuman menerusi pembesar suara berkenaan perkara itu.

"Ketika saya pergi ke situ, saya lihat mereka bawa sekujur mayat dengan trak dan menggantungnya menggunakan kren," katanya seperti dipetik.

Gambar mayat tergantung itu dengan nota "Ini hukuman kerana menculik" disebarkan di media sosial.

Menurut Reuters lagi, tiada mayat lain yang kelihatan tetapi hantaran di media sosial menyatakan mayat lain digantung di bahagian lain bandar itu.