Skip to main
Logo Malaysiakini

Lesen memandu: Jangan menyusahkan warga emas - Umno

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

  • Dikemas kini dengan berita penuh.

Presiden Umno Zahid Hamidi mencadangkan kerajaan mengambil kira rekod kesalahan trafik dan faktor kesihatan jika mahu mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas lebih 70 tahun.

“Jangan menyusahkan warga emas kita dengan pelbagai prosedur yang membebankan mereka.

“Mungkin diwujudkan juga mekanisme bagi mengenal pasti warga emas yang bagaimana perlu menjalani pemeriksaan,” katanya.

“Mereka juga kebiasaannya tidak rushing atau terkejar-kejar ketika memandu kerana sudah kurang sarat dengan pelbagai urusan harian,” katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Azisman Alias mengesyorkan kepada kerajaan agar mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas.

Azisman berkata antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan adalah kerana warga emas memandu kenderaan dalam keadaan mereka tidak sihat sepenuhnya.

Dia berkata kumpulan warga emas seharusnya menjalani pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan surat daripada doktor terlebih dahulu untuk mengesahkan bahawa mereka sihat untuk memandu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata cadangan seorang pegawai kanan polis agar kerajaan mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas merupakan pandangan peribadi.

Menulis di media sosial, Zahid berkata, golongan warga emas bukan sahaja lebih cekap ketika memandu, tetapi lebih berhati-hati di atas jalan raya.

Selain itu, katanya, banyak lagi faktor yang boleh menjadi faktor kemalangan jalan raya seperti memandu bawah pengaruh dadah dan arak.

Dia juga berkata menilai pemandu hanya bersandarkan kepada faktor umur atau merujuk kepada kes terpencil boleh menimbulkan diskriminasi.