Skip to main
Logo Malaysiakini

RMK12: K'jaan negeri diminta buat pendengaran awam sebelum batal warta hutan simpan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan negeri akan diminta untuk mengadakan sesi pendengaran awam sebelum sebarang pembatalan pewartaan bagi kawasan hutan simpan kekal (HSK) dan Estet Hutan Kekal (PFE).

Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, ia antara langkah di bawah strategi memulihara ekosistem semula jadi iaitu mempertingkatkan langkah pemuliharaan bagi kawasan terestrial dan air daratan.

"Pemuliharaan ekosistem yang berterusan adalah penting bagi memastikan habitat semula jadi dilindungi dan bersambung secara ekologi. Dalam hubungan ini, pemuliharaan kawasan terestrial, air daratan, pesisir pantai dan marin akan dipertingkat melalui perlindungan, pemulihan dan ketersambungan habitat.

"Kepentingan ekosistem akan diarusperdanakan dalam perancangan dan pembangunan sosioekonomi. Inisiatif ini akan mempertingkat daya tahan dan keupayaan ekosistem untuk menyediakan perkhidmatan ekologi secara berterusan bagi kemampanan biodiversiti dan menyokong pertumbuhan sosioekonomi, selari dengan Matlamat 14 dan 15 Agenda 2030," menurut dokumen itu.

Selain itu, pewartaan kawasan perlindungan bagi terestrial dan air daratan akan dipergiatkan melalui pewujudan pasukan petugas khas selain rangka kerja bagi kaedah-kaedah lain yang berkesan untuk pemuliharaan berlandaskan kawasan akan turut dibangunkan.

Menurut dokumen itu, usaha berkenaan adalah untuk meningkatkan pemuliharaan kawasan semula jadi termasuk geopark dan air daratan bagi mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan litupan hutan berbanding keseluruhan kawasan tanah.

[Nota editor: Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB, anggaran liputan hutan di Malaysia adalah 57.9 peratus daripada jumlah keseluruhan keluasan tanah.]

Penanaman semula, pemuliharaan dan pengayaan hutan akan dipergiat melalui kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan. Sektor swasta akan digalakkan untuk menyertai dengan aktif dalam program pemuliharaan hutan.

Di samping itu, ketersambungan empat kompleks hutan utama di Semenanjung Malaysia akan ditambah baik dengan mempercepat pewujudan koridor ekologi di bawah inisiatif CFS (Central Forest Spine) manakala pengurusan dan pemuliharaan kawasan berhutan di Sabah dan Sarawak akan terus dipertingkat melalui inisiatif HoB (Heart of Borneo).

Sementara itu, di bawah strategi meningkatkan pemuliharaan sumber air, dokumen itu menyatakan Akta 127 akan dikaji semula untuk memasukkan peruntukan mengenai bahan pencemar baru muncul terutamanya bahan kimia yang terdapat dalam produk farmaseutikal, racun perosak, perindustrian dan isi rumah.

Menurut dokumen itu, kajian Jumlah Beban Harian Maksimum (TMDL) yang menentukan keupayaan bebanan segmen sungai akan diperluas untuk meliputi lebih banyak lembangan sungai.

"Kajian ini akan memberi panduan kepada kerajaan negeri dan PBT (pihak berkuasa tempatan) dalam menilai cadangan pembangunan sedia ada dan baru di sepanjang koridor sungai.

"Sistem pemantauan pintar juga akan diwujudkan bagi membolehkan pemantauan masa nyata dan amaran awal serta memperkukuh penguatkuasaan. Denai sungai akan dibangunkan sebagai penyelesaian semula jadi untuk mencegah pencerobohan dan pencemaran sungai," menurut dokumen itu.

-Bernama