K'jaan digesa pinda undang-undang bagi paksa pendengaran awam isu hutan simpan
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan Elizabeth Wong hari ini mendesak Putrajaya untuk meminda undang-undang untuk memaksa kerajaan negeri mengadakan pendengaran awam mengenai cadangan penyahwartaan hutan simpan.
Dalam satu kenyataan, Wong memuji kerajaan yang mendesak kerajaan negeri untuk melakukannya sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), namun, dia mengingatkan bahawa kata-kata saja tidak cukup.
"Dalam semangat RMK12, yang jelas dalam usahanya untuk Kemapanan Iklim dan Pemuliharaan Biodiversiti, Putrajaya tidak boleh menunggu kerajaan negeri melakukan hal yang diperlukan.
"Kerajaan harus meminda Akta Perhutanan Negara dan mencari cara untuk memaksa negari untuk melaksanakan undang-undang, termasuk melalui insentif kewangan bagi memelihara dan menjaga inventori hutan simpan sedia ada," tambahnya.
Wong berkata hanya ada satu negeri di negeri ini yang mempunyai peruntukan undang-undang tersebut, iaitu Selangor.
Pada tahun 2011, sebagai anggota kabinet negeri Selangor, dia menggerakkan rang undang-undang untuk meminda Enakmen (Pemakaian) Undang-Undang Perhutanan Negara 1985 yang memaksa negeri itu untuk mengadakan pendengaran awam sebelum menyah warta hutan simpan.
Perundangan itu memainkan peranan penting dalam mempertahankan Hutan Simpan Utara Kuala Langat, yang sebelum itu ingin dijual oleh kerajaan negeri kepada pemaju.
Pendengaran awam dilakukan pada bulan September 2020 yang memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai isu berkenaan.
Pada bulan Mei tahun ini, kabinet negeri meneruskan keputusan menyah warta hutam berkenaan, dan hanya mendedahkannya ketika ditanya di di dewan perundangan Selangor.
Wong berkata, setiap kerajaan negeri mnganggap hutan dan tanah hijau sebagai pendapatan negeri yang terbiar dan tidak direalisasikan. Tanggapan ini, tegasnya, mesti diubah.
"Dalam 18 bulan terakhir ketika pergerakan rakyat Malaysia disekat (kerana Covid-19), semangat rakyat Malaysia untuk memelihara semua hutan dan kawasan hijau menjadi tuntutan utama kepada semua kerajaan negeri.
"Nilai sebenar hutan simpan bukan dalam wang ringgit, tetapi dalam peranannya untuk membolehkan rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang berkualiti," katanya.
Sehubungan dengan itu, Wong mencadangkan kriteria yang boleh diguna pakai oleh Putrajaya untuk RMK12 yang bertumpu pada pemuliharaan.
Lima kriteria itu adalah:
- Moratorium terhadap semua pembalakan komersial di Malaysia untuk 25 tahun akan datang
- Sebarang hutan yang akan dinyahwartakan mesti melalui proses pendengaran awam
- Hutan simpan hanya boleh dinyahwartakan untuk projek kepentingan awam, bukan untuk projek keuntungan swasta
- Semua hutan yang sudah dinyahwartakan mesti diganti dengan hutan yang mempunyai kualiti sama dengan ukuran yang sama atau lebih luas.
- Kerajaan negeri mesti aktif menambah keluasan hutan simpan setiap tahun.
Wong juga mengesyorkan penubuhan Pembayaran untuk Perkhidmatan Ekosistem (PES) - kutipan cukai untuk membantu usaha pemuliharaan - dan pengembangan Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional.
"Ini akan memberikan dana pampasan yang mencukupi dan memberi insentif kepada aktiviti pemuliharaan di peringkat negeri," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai