Pemeriksaan haid: Gangguan mungkin berterusan bila menteri terus 'membisu'
Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin mengingatkan yang tindakan Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin yang dilihat 'membisu' berhubung laporan pemeriksaan haid di sekolah boleh menyebabkan penerusan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Jamaliah berkata, setakat ini tiada berita tentang langkah segera bagi menangani perkara itu, yang sepatutnya dilakukan kerana ia amat penting sebagai perlindungan kepada kanak-kanak.
"Ia bukan isu sensitif, tiada apa yang kontroversi tentang melindungi anak-anak kita dengan persekitaran selamat. Jadi sebabnya hanyalah tiada tekad (untuk menanganinya) dan ia tidak dipandang serius oleh kementerian.
"Dan kerana sikap seperti ini, murid mungkin masih terus berdepan gangguan dengan pemeriksaan haid di masa depan (terutama apabila sekolah kembali dibuka).
"Jadi kita desak jawapan diberikan, bukan saja tentang apa yang akan dilakukan, tetapi dengan garis masa yang wajar dan penjelasan tentang garis masa ini," kata Jamilah.
Katanya lagi, ia termasuk penjelasan berkenaan tempoh masa diambil untuk menubuhkan jawatankuasa dan cabaran yang dihadapi kementerian untuk menubuhkannya.
Senator PKR Fadhlina Sidek juga menggesa tindakan yang sama dilakukan kementerian.
"Dia (Radzi) ada sebut tentang jawatankuasa (bebas) akan dibentuk untuk melihat perkara ini.
"Pemeriksaan haid adalah satu gangguan. Adakah menteri pendidikan benarkan gangguan seumpama ini berlaku di sekolah?
"Sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk kanak-kanak - bukan tempat gangguan atau pengalaman yang traumatik," katanya lagi.
Sebelum ini, pelbagai pihak - termasuk Persatuan Tindakan Semua Wanita (Awam), Maszlee Malik, Azalina Othman Said, Rafidah Aziz, Anwar Ibrahim, Hannah Yeoh dan Teo Nie Ching - telah menggesa kementerian bertindak sejak insiden itu dilaporkan pada April lalu.
'Pemeriksaan haid musnahkan pengalaman zaman sekolah saya'
Periksa haid: Buli dengan kesan psikologi berpanjangan, kata pakar
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun juga berkata pemeriksaan itu tidak sepatunya berlaku.
Ketika itu, dia juga berkata akan berhubung dengan pihak terlibat bagi memastikan amalan itu dihentikan.
Pada Jun lalu, Radzi berkata pihak kementerian dalam peringkat akhir untuk menubuhkan jawatankuasa bebas untuk meneliti prosedur sedia ada dalam menangani aduan mengenai amalan pemeriksaaan haid di sekolah dan hal-hal yang berkaitan.
Perincian berkenaan jawatankuasa itu masih belum dinyatakan kepada awam.
Pemeriksaan tersebut - yang dilakukan guru, warden asrama atau pengawas - didakwa mungkin berlarutan sejak 20 tahun lalu. Pembuktian dikatakan perlu dibuat dengan meminta pelajar menunjukkan kesan darah pada tuala wanita atau melakukan calitan pada kemaluan mereka menggunakan kapas, tisu atau jari.
Malaysiakini pada akhir April lalu menyerahkan nama 15 sekolah di mana pelajar perempuan didakwa menjalani pemeriksaan haid untuk membuktikan mereka tidak boleh melakukan solat.
"Daripada Jun sehingga sekarang, kita tak dengar apa-apa. Adakah mereka benar-benar tubuh jawatankuasa dan teliti semua laporan yang dibuat Malaysiakini?
"Pada masa ini, Kementerian Pendidikan sepatutnya sudah ada dasar perlindungan kanak-kanak sendiri, terutama tentang bagaimana menangani gangguan seumpama ini," katanya yang juga ketua Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR.
Salinan senarai turut diserahkan kepada timbalan Radzi ketika itu - Muslimin Yahaya dan Dr Mah Hang Soon - serta ketua setiausaha kementerian dan Jabatan Komunikasi Korporat.
Senarai itu menyertakan perincian seperti tarikh dakwaan kesalahan dilakukan (kebanyakannya antara 2011 hingga 2018) serta guru dan warden yang dinamakan pelajar.
Nama pelajar yang didakwa menjadi mangsa tidak disertakan.
Sementara itu, Majlis Amanah Rakyat (Mara) turut menjalankan siasatan berhubung amalan tersebut di sekolah di bawah pentadbirannya.
Pada 6 Mei lalu, Pengerusinya Azizah Mohd Dun berkata siasatan telah selesai dan kenyataan berhubung perkara itu akan dikeluarkan, namun masih tiada sebarang kenyataan berkenaannya sehingga kini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai