Skip to main
Logo Malaysiakini

Kes pandu menongkah arus banyak disebabkan alkohol, dadah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN | Sebanyak 807 kes kemalangan jalan raya melibatkan pemanduan melawan arus direkodkan sejak Jan tahun ini dengan kebanyakannya disebabkan pengaruh arak atau dadah, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, sebahagian besar daripada kes berkenaan kemudian menyebabkan kesosakan kenderaan iaitu 712 kes, manakala 29 kes lagi melibatkan maut.

Tujuh belas lagi menyebabkan kecederaan parah manakala 49 kecederaan ringan.

“Dalam kes berkaitan memandu lawan arus ini, kebelakangan ini kerap dilaporkan berlaku kes-kes sedemikian yang disebabkan oleh pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, dan ini amat membimbangkan,” katanya ketika sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Wee menjelaskan hal itu sebagai menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta Kementerian Pengangkutan menyatakan secara terperinci data dan statistik kemalangan jalan raya melibatkan kesalahan pemanduan lawan arus dari Januari 2021 sehingga setakat ini.

Syed Ibrahim turut meminta penjelasan mengenai faktor penyumbang terhadap kesalahan dan kemalangan yang berlaku serta langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk membendungnya.

Kata Wee faktor manusia merupakan penyumbang utama kepada kejadian tersebut.

Antara punca kemalangan dan pemanduan melawan arus, jelas presiden MCA itu, ialah memanju melebihi had laju, memandu bawah pengaruh alkohol dan dadah, tidak fokus semasa memandu kerana menggunakan telefon bimbit atau aplikasi tunjuk arah, serta tidak mematuhi peraturan jalan raya.

“Faktor manusia pula boleh dikhususkan kepada dua penyebab iaitu aspek kompetensi yang melibatkan pengetahuan dan kemahiran memandu, dan sikap yang menjurus kepada perangai dan mentaliti pemandu itu," katanya.

Tambah Wee Kementerian Pengangkutan sudah menguatkuasakan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 mulai 23 Okt 2020 antara lain melibatkan peningkatan kadar denda serta tempoh penjara.

“Pindaan hukuman ini merupakan satu bentuk deterrence (pencegahan) dan memupuk kesedaran dalam kalangan orang ramai supaya mereka mematuhi undang-undang, dan apabila ia dilaksanakan, jalan raya di negara kita ini akan kekal selamat.

“Selain itu, nilai ambang melibatkan had kepekatan alkohol di dalam darah yang dibenarkan juga telah dipinda,” katanya.