Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih separuh peserta MM2H tidak kembali semula adalah dari China

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seramai 1,822 peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) telah keluar dari Malaysia antara 2015 dan 2019, dan tidak pernah kembali semula.

Peserta dari China mengungguli peratusan dengan 920 daripada mereka tidak pernah kembali semula ke Malaysia, diikuti Jepun (214 orang), Korea Selatan (201 orang) dan Bangladesh (134 orang).

Hasil analisis tersebut mendapati seramai 1,822 peserta telah keluar dari Malaysia dan tidak pernah kembali semula ke negara ini bagi tempoh lima tahun.

Hal itu didedahkan dalam Laporan Audit Negara 2019 siri 2 yang menekankan berkenaan tiadanya mekanisme pemantauan dalam program tersebut.

Program MM2H membenarkan warga asing yang menepati kriteria untuk tinggal di Malaysia selama 10 tahun dengan pas lawatan sosial yang boleh diperbaharui.

Menurut laporan itu, sejumlah 48,471 warga asing dari 131 negara telah diluluskan untuk menyertai program MM2H dari 2002 hingga September 2019.

“Hasil analisis tersebut mendapati seramai 1,822 peserta telah keluar dari Malaysia dan tidak pernah kembali semula ke Malaysia bagi tempoh lima tahun,” kata laporan berkenaan.

Di bawah program MM2H, peserta hanya diperlukan untuk masuk ke Malaysia sekali dalam tempoh enam bulan selepas kelulusan penyertaan program itu. Mereka tidak diperlukan untuk tinggal di negara ini untuk tempoh waktu tertentu.

Laporan itu turut membangkitkan isu tiadanya keperluan surat kelakuan baik (letter of good conduct / LOGC) bagi tanggungan peserta untuk mengesahkan tanggungan mereka bebas daripada kesalahan jenayah atau mengelak dari risiko keselamatan negara.

Berdasarkan Laporan Audit Negara, pengurusan program MM2H didapati kurang cekap dan kurang berkesan, dengan ketiadaan pangkalan data bersepadu dan kelemahan kawalan dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

“Semakan audit selanjutnya mendapati tiada LOGC disertakan bagi 107 tanggungan yang dibawa oleh 59 peserta tersebut. Ini kerana peraturan tidak menetapkan LOGC perlu dikemukakan bagi tanggungan yang dibawa oleh peserta.

“Semakan Audit juga mendapati tiada kaedah lain ditetapkan bagi mengesahkan tanggungan adalah bebas daripada salah laku jenayah di negara asal,” kata laporan itu lagi.

Selain itu, laporan itu mendapati peraturan atau prosedur yang tidak jelas menyukarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat pemantauan secara berkesan dan menilai pencapaian program.

Antara kelemahan lain digariskan audit:

  • Syarat minimum pendapatan tetap luar negara berjumlah RM10,000 sebulan tidak pernah dikaji semula sejak Program MM2H dimulakan pada tahun 2002.
  • Risiko penularan penyakit berjangkit berbahaya disebabkan prosedur mengenai pengakuan tahap kesihatan pemohon Program MM2H yang tidak selari.
  • Anak peserta menikmati kelayakan sebagai tanggungan walaupun telah berumur melebihi 21 tahun kerana peraturan yang tidak seragam.

Secara umumnya, pencapaian penyertaan MM2H dari 2015 hingga September 2019 adalah baik iaitu seramai 21,292 peserta menyertai program ini berbanding sasaran ditetapkan seramai 17,500 orang.

Pun begitu, audit mengesyorkan agar koordinasi antara Motac dan kementerian atau agensi berkaitan perlu dipertingkatkan dengan mewujudkan sistem bersepadu bagi menambah baik keberkesanan pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program.

Motac, JIM dan dan Jawatankuasa Pemandu MM2H juga disyorkan untuk perlu mengkaji dan menyemak semula pekeliling atau garis panduan program MM2H supaya lebih seragam, jelas dan menyeluruh.

Satu kajian juga perlu dijalankan terhadap prosedur saringan kesihatan agar selaras dengan prosedur atau standard yang ditetapkan oleh JIM dan Kementerian Kesihatan.

Audit turut mengesyorkan penguatkuasaan penggunaan kad pintar digital kepada peserta dan mengintegrasikan fungsinya seperti merekodkan maklumat mengenai pembelian hartanah oleh peserta, maklumat kediaman dan pekerjaan peserta bagi tujuan pemantauan yang lebih berkesan.