Skip to main
Logo Malaysiakini

Siasatan kematian Adib usah ditutup walau sementara, kata PPMM

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mendesak kerajaan bertegas untuk tidak menutup - walaupun sementara - siasatan kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Presiden PPMM Zainul Rijal Abu Bakar berkata sebarang bukti baru tidak akan datang bergolek, justeru menjadi tugas Polis Diraja Malaysia untuk mencarinya sehingga ke tahap melampaui keraguan yang munasabah.

Katanya langkah itu perlu diambil bagi membela arwah Muhammad Adib.

"Persoalan yang timbul kini, adakah polis sudah buntu, tidak menemui jalan dan letih menyiasat kes pembunuhan Muhammad Adib dan mengumpul buktinya?" kata PPMM dalam kenyataan hari ini.

PPMM mengulas laporan media yang memetik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin, yang mendakwa kes kematian Muhammad ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baru.

Kata ahli parlimen Ampang itu, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga arwah.

Untuk rekod sebelum ini Zuraida ialah menteri perumahan dan kerajaan tempatan. Jabatan Bomba dan Penyelamat terletak di bawah bidang kuasa kementerian terbabit.

Zainul Rijal berkata PPMM terkejut dengan kenyataan Zuraida kerana ia tidak seharusnya dibuat oleh seorang menteri.

Katanya kenyataan sebegitu sepatutnya datang daripada peguam negara atau ketua polis negara.

Pada masa sama PPMM mendesak kerajaan memberikan penjelasan mengapa mereka masih membela bekas peguam negara Tommy Thomas dalam prosiding komital dibawa keluarga arwah Muhammad Adib.

Sedangkan kata Zainul Rijal, ketika parti kerajaan yang ada hari ini masih menjadi pembangkang dulu mereka sangat lantang mengecam tindak tanduk Thomas dalam menangani inkues arwah Adib.

Pada masa sama menurut Zainul Rijal banyak laporan polis dibuat pelbagai pihak termasuk keluarga arwah, mantan peguam negara dan Mohamed Apandi Ali namun tidak diketahui apa tindakan yang diambil oleh PDRM.

"PPMM mendesak siasatan kes pembunuhan arwah Muhammad Adib tidak ditutup walaupun sementara dan usaha membawa pembunuh terbabit ke muka pengadilan perlu dilipatgandakan.

"Dalam undang-undang jenayah tiada had batasan waktu ditetapkan bagi memulakan prosiding jenayah ke atas mana-mana pihak," katanya.