Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM: Ahmad Maslan pernah ditawar kompaun namun pilih dibicarakan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan pernah ditawarkan kompaun pada Okt 2019.

Dalam satu kenyataan, suruhanjaya itu berkata bagaimanapun Ahli Parlimen Pontian itu memilih untuk dibicarakan.

"Ahmad Maslan sebelum ini pernah ditawarkan kompaun tersebut pada Oktober 2019 namun memilih untuk dibicarakan di mahkamah pada ketika itu.

"Sehubungan itu, beliau dituduh dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 32(8)(c) AMLATFPUAA 2001 pada 20 Januari 2020. Semasa tempoh perbicaraan berjalan, beliau telah mengemukakan representasi dan bersetuju kembali untuk membayar kompaun tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

AMLATFPUAA adalah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Awal hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Ahmad atas dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Maslan.

Ini selepas ahli parlimen Pontian bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta, semalam.

Peguam yang mewakili Ahmad pula dalam satu kenyataan berkata, anakguamnya memilih untuk membayar kompaun selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan ia tidak memberi kesan kepada kedudukannya sebagai ahli Parlimen.

Selain itu, SPR juga turut mengesahkan bahawa Ahmad tidak hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

"SPRM ingin menjelaskan bahawa tindakan kompaun yang dikenakan ini merupakan satu tindakan punitif terhadap mana-mana individu yang terlibat dan merupakan satu bentuk pemulangan aset (asset recovery) di bawah AMLATFPUAA 2001," katanya.