Skip to main
Logo Malaysiakini

Jho Low hadiri mesyuarat khas 1MDB pada Sept 2009: Saksi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dimaklumkan bahawa ahli perniagaan yang menjadi buruan Low Taek Jho menghadiri mesyuarat khas lembaga pengarah 1MDB di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 26 September 2009.

Bekas setiausaha firma milik negara, 1MDB Lim Poh Seng memberi keterangan bahawa Low, yang juga dikenali sebagai Jho Low, hadir pada mesyuarat yang diadakan di Royale Bintang Damansara.

Semasa perbicaraan dakwaan pindaan laporan audit 1MDB terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas CEO firma itu, Arul Kanda Kandasay, hari ini, saksi pendakwaan kesembilan Lim mengesahkan salinan minit mesyuarat.

"Mengikut minit mesyuarat, mesyuarat dipengerusikan oleh Mohd Bakke Salleh, dan yang hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Che Lodin (Wok Kamaruddin), Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Azlan Zainol, Ismee Ismail, Low Taek Jho, dan Casey Tang Keng Chee.

"Saya tidak hadir pada mesyuarat itu sebagai setiausaha kerana saya cuti. Minit disiapkan oleh Kelvin Tan,” kata Lim, sambil menambah bahawa salinan minit mesyuarat diserahkan kepadanya untuk difailkan.

Bakke, Che Lodin, Azlan dan Ismee adalah bekas pengarah 1MDB, sementara Shahrol pernah menjadi CEO firma pelaburan negara itu.

Tang adalah rakan sekutu Low, sementara Tan pernah menjadi pengarah strategi korporat untuk 1MDB.

Ketika ditanya oleh timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram jika dia terkejut melihat nama Low pada minit mesyuarat 26 September, Lim menjawab tidak.

Lim awal hari ini semasa memberi keterangan memaklumkan bahawa semasa menjadi setiausaha1MDB dari tahun 2009 hingga 2011, dia pernah berjumpa dengan Low yang menghadiri mesyuarat lembaga pengarah syarikat, tetapi saksi itu mengakui bahawa dia tidak mempunyai ingatan khusus.

Pihak pendakwaan percaya bahawa keputusan membuat pindaan tersebut dibuat pada mesyuarat 24 Februari 2016, di pejabat ketua setiausaha negara Ali Hamsa ketika itu.

Adalah didakwa bahawa ini dilakukan untuk menghapus atau mengubah bahagian laporan audit 1MDB tertentu, termasuk mengeluarkan nama Low yang hadir pada mesyuarat lembaga pengarah.

Selain Ali dan Arul Kanda, mereka yang hadir dalam mesyuarat tersebut adalah bekas ketua audit negara Ambrin Buang,bekas juruaudit Jabatan Audit Negara Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, bekas setiausaha sulit Najib, Shukry Salleh, dan wakil Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad.

Perbicaraan yang dikendalikan oleh hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan akan bersambung esok, dengan Shukry sebagai saksi pendakwaan memberi keterangannya.

Najib dituduh menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan terhadap laporan audit akhir 1MDB sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, untuk mengelakkan tindakan terhadapnya.

Tertuduh bersama Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.