Skip to main
Logo Malaysiakini

Peniaga wanita rugi RM95,000 ditipu individu menyamar ahli kecantikan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang ahli perniagaan wanita berumur 20-an mengalami kerugian sebanyak RM95,000 setelah ditipu individu yang menyamar sebagai ahli kecantikan di Tumpat pada Ogos tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, CP Shafien Mamat berkata, mangsa ditawarkan oleh suspek yang juga saudaranya sendiri rawatan suntikan pemutihan kulit pada Ogos tahun lalu.

"Suspek mengaku mempunyai kelayakan dan pengalaman untuk menjalankan rawatan kerana dia merupakan seorang kakitangan sebuah pusat rawatan yang dikenali di ibu kota.

"Mangsa telah menjalani 17 rawatan bersama suspek dalam tempoh dua bulan setelah dimaklumkan oleh suspek bahawa dia mempunyai sijil kelayakan dan mendapat bekalan ubat-ubatan dari pusat terbabit," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Shafien, mangsa telah membuat bayaran sebanyak RM95,000 dalam tempoh yang sama bagi mendapat rawatan 'Face Jab' dan 'Dripping'.

Tambahnya, mangsa telah mengalami masalah kulit yang serius pada Mac lalu dan telah mendapat rawatan di pusat perubatan.

Selain itu, mangsa yang dipercayai mendapat rawatan kulit yang salah menghadapi risiko penyakit buah pinggang.

"Mangsa yang tidak berpuas hati telah menghubungi pusat rawatan kecantikan terbabit dan dimaklumkan bahawa suspek bukan kakitangan pusat kecantikan tersebut.

"Mereka juga tidak pernah memberi kebenaran untuk sebarang rawatan kecantikan dijalankan diluar premis dan mangsa bergegas membuat laporan polis setelah disyaki ditipu suspek," katanya.

Shafien berkata, kes tersebut sedang dalam siasatan polis kerana kesalahan menipu dengan jalan samaran di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan pesalah boleh dipenjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Saya ingin mengingatkan kepada masyarakat supaya berhati-hati dengan sentiasa membuat semakan dengan pihak yang sewajarnya sebelum mendapatkan apa-apa jenis perkhidmatan yang ditawarkan.

"Masyarakat juga perlu tidak sewenang-wenangnya mempercayai walaupun dakwaan oleh individu yang dikenali," terangnya lanjut.