Mujahid gesa dakwaan penyelewengan di Tabung Haji disiasat
Ahli parlimen pembangkang, Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) menggesa siasatan terhadap dakwaan penyelewengan yang berlaku di Tabung Haji.
Ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) petang tadi, dia menujukan gesaan itu kepada menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, Mujahid pernah bertugas sebagai menteri hal ehwal agama dan bertanggungjawab ke atas Tabung Haji.
"Satu contoh institusi Melayu Islam 100 peratus yang sebelum kami terima berada dalam keadaan cukup parah tetapi dalam usaha (PH) yang diikat dengan integriti dan tanggungjawab serta amanah, maka dua tahun itu telah melihat pemulihan Tabung Haji.
"Dan saya ingin jelaskan dalam dewan yang mulia ini, walaupun tiada siasatan yang dibuka dalam kes Tabung Haji, saya ingin menegaskan ada lima laporan polis dibuat sejak tahun 2018.
"Hanya pihak peguam negara yang belum membuka siasatan, oleh itu saya ingin bertanya kepada menteri perundangan bilakah siasatan ini akan dibuat," katanya.
Mujahid menegaskan bahawa siasatan diperlukan dan menyifatkan bahawa laporan polis berkenaan mengandungi tuduhan yang boleh dipercayai.
"Laporan-laporan polis ini mempunyai merit dari perspektif isu-isu mengenai kurangnya integriti, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa tetapi sampai hari ini belum ada siasatan.
"Saya mendesak agar Peguam Negara membuka siasatan tentang hal ini," katanya.
Pada Disember 2018, Mujahid yang merupakan menteri ketika itu mendedahkan bahawa Tabung Haji mengalami defisit RM4.1 bilion pada akhir tahun 2017.
Tinjauan bebas oleh PriceWaterhouseCoopers mendapati bahawa dana kerajaan telah mengalami kerugian nilai ekuiti sebanyak RM4.3 bilion tetapi menyembunyikan fakta ini.
Firma itu selanjutnya menyimpulkan bahawa Tabung Haji telah menyembunyikan kerugiannya agar dapat mengeluarkan dividen pada tahun 2017.
Akta Tabung Haji 1995 tidak membenarkan pembahagian dividen sekiranya kekurangan dana.
Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim, yang merupakan ketua Tabung Haji dari Julai 2013 hingga Mei 2018, kini menghadapi 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Dia sebelum ini menafikan dua laporan polis yang mendakwa salah urus RM22 juta oleh Tabung Haji, dan mengatakan laporan itu mempunyai "niat buruk" terhadapnya.
Pada bulan Julai tahun ini, Ismail Sabri Yaakob yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk meneliti Lembaga Tabung Haji.
Ismail yang kini merupakan perdana menteri, bagaimanapun belum menyatakan sama ada RCI itu akan diteruskan atau tidak.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai