Skip to main
Logo Malaysiakini

208 kes kematian dilaporkan semalam, jumlah melepasi 26,000

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sebanyak 208 kematian dilaporkan setakat semalam, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 26,143 kes.

Sebanyak 9,488 kes daripada jumlah itu - lebih satu pertiga - berlaku pada September, menjadikan kes kematian pada bulan ini tertinggi sejak wabak Covid-19 mula menular di Malaysia. Ia menunjukkan kedudukan Malaysia sebagai negara terburuk di Asia dalam jumlah kes kematian per kapita.

Untuk perbandingan, sebanyak 7,642 kematian akibat Covid-19 berlaku pada Ogos, 3,858 kes pada Julai, 2,380 kes pada Jun dan 1,302 kes pada Mei.

Daripada jumlah kematian semalam, sebanyak 30.8 peratus (64 orang) meninggal sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Selangor mencatatkan jumlah kematian tertinggi, iaitu 76 orang atau 36.5 peratus.

Ia disusuli dengan Johor (30), Pulau Pinang (30), Sabah (22), Kedah (12), Kelantan (9), Perak (8), Terengganu (7), Pahang (4), Perlis (4), Kuala Lumpur (4) dan Sarawak (2).

Tiada kes kematian dilaporkan di Melaka, Negeri Sembilan, Labuan dan Putrajaya.

Jumlah kes kematian harian melebihi 200 untuk enam hari berturut-turut.

Secara keseluruhan, sebanyak 123 daripada 208 kes kematian dilaporkan dalam tempoh tujuh hari terakhir.

Bakinya berlaku lebih dari seminggu lalu tetapi hanya direkodkan semalam susulan kelewatan laporan data.

Dalam tempoh 30 hari, purata 325 kes Covid-19 dilaporkan berbanding purata 225 kes untuk minggu ini. Ia memberi petanda trend pengurangan.

Jumlah kes aktif setakat semalam pula sebanyak 169,718 - poengurangan 15.7 peratus berbanding 201,274 pada minggu sebelumnya.

Berbanding 30 hari lalu, jumlah kes aktif jatuh kira-kira satu petiga (36.1 peratus) daripada 265,716.