Umno gesa siasatan kes Adib diteruskan hingga 'kebenaran dirungkai'
Umno menggesa siasatan kes kematian anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim diteruskan.
Ia selepas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata bahawa kes itu ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baru.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan itu sebagai "amat mendukacitakan".
"Umno tidak pernah melupakan kes kematian Adib dan sentiasa menuntut keadilan ditegakkan. Umno sentiasa memerhati rapat perkembangan kes tersebut selepas kerajaan sebelum ini memberi jaminan akan meneruskan siasatan kes itu.
"Umno menggesa siasatan kes itu yang telah menjadi suatu aspek kepentingan umum diteruskan sehingga kebenaran dapat dirungkai," katanya dalam kenyataan.
Zuraida yang merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika insiden itu berlaku menyatakan yang kerajaan kini memberi fokus terhadap keperluan keluarga arwah.
Untuk rekod, Jabatan Bomba dan Penyelamat terletak di bawah bidang kuasa kementerian tersebut.
Dalam pada itu, Zahid berkata pihaknya berpegang kepada keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019 iaitu kematian Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu.
"Pihak berkuasa perlu diberi masa dan ruang untuk melaksanakan siasatan mereka bagi mencari kebenaran," katanya lagi.
Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara.
Allahyarham mengalami kecederaan parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya kira-kira sebulan sebelumnya.
Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.
Bagaimanapun setakat ini belum ada individu yang ditangkap mahupun didakwa berkaitan kematiannya.
Bapa arwah, Mohd Kassim Abdul Hamid juga pernah menyuarakan kekecewaan dengan apa yang disifatkan sebagai kelambatan pihak berkuasa dalam menyelesaikan kes tersebut.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai