Dedah kos terperinci RM38.5 juta ubah suai Seri Perdana - Lim
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa kerajaan mendedahkan perincian kos RM38.5 juta untuk kerja-kerja pengubahsuaian kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana di Putrajaya yang bermula Mac lalu.
Katanya, rakyat berhak mempersoalkan kos pengubahsuaian yang tinggi itu, dan apakah ia lebih wajar disalurkan untuk tujuan lain dalam usaha memerangi Covid-19, seperti menambah katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital atau bantuan kewangan kepada yang memerlukan.
“Demi ketelusan dan akauntabiliti awam, kos terperinci bagi RM38.5 juta kos pengubahsuaian kediaman rasmi perdana menteri perlu didedahkan untuk memberi alasan kukuh terhadap penggunaan dana rakyat sedemikian ketika menghadapi krisis berkembar pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.
“[...] Selain itu, apakah pengubahsuaian yang diperlukan sehingga mencecah kos yang tinggi?
“Kecuali jika kos tersebut diteliti secara ketat, rakyat berhak untuk bertanya apakah RM38.5 juta tersebut dapat digunakan dengan lebih baik untuk memerangi pandemik Covid-19 dengan lebih banyak katil ICU, rawatan dan ubat-ubatan yang lebih baik atau bahkan bantuan kewangan kepada mereka yang terkesan akibat kemelesetan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad mendedahkan bahawa ubah suai Seri Perdana menelan kos setinggi itu kerana bangunan berkenaan sangat memerlukan kerja baik pulih akibat banyak kerosakan, seperti penggantian pendawaian elektrik dan kebocoran pada bumbungnya.
Menjelaskan isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar di Dewan Rakyat beberapa hari lalu, katanya, projek itu diluluskan pada 19 Mac 2021 dan kerja-kerja membaik pulih pula bermula pada 29 Mac, dan dijangka siap pada 7 Disember nanti.
Sebelum ini, kritikan timbul apabila perdana menteri dalam jawapan parlimen menjelaskan pengubahsuaian tersebut penting untuk menjaga imej negara, memastikan keselamatan bangunan, serta turut melibatkan penggantian perabot untuk menjaga statusnya sebagai kediaman rasmi perdana menteri.
Lim turut mempersoalkan apakah proses tender terbuka dilakukan bagi kerja pengubahsuaian berkenaan.
“Bagi projek yang telah diluluskan pada 19 Mac tetapi dapat dijalankan hanya sepuluh hari kemudian, menimbulkan persoalan adakah tender terbuka awam telah dilakukan.
“Sekiranya tidak, maka di manakah kepentingannya sehingga protokol perolehan kerajaan tidak dipatuhi?
“Pada ketika kerajaan kekurangan dana, adakah membelanjakan RM38.5 juta untuk pengubahsuaian adalah diperlukan apabila dana tersebut dapat digunakan untuk membina perumahan awam untuk orang miskin, terutama di kawasan bandar?” soal ahli parlimen Bagan itu.
Bekas perdana menteri Najib Razak turut menempelak Muhyiddin kerana memulakan pengubahsuaian Seri Perdana ketika menjadi perdana menteri, di tengah penularan wabak Covid-19.
Katanya, pengubahsuaian yang bermula Mac itu berlaku sebulan sebelum kenyataan Muhyiddin bahawa kerajaan "sudah tiada banyak wang" ekoran peruntukan yang dikeluarkan untuk menangani wabak itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai