Skip to main
Logo Malaysiakini

Baik pulih Seri Perdana: JKR dan JPM ada perincian, kata Muhyiddin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Muhyiddin Yassin meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) tampil menjelaskan isu ubah suai Seri Perdana di Putrajaya yang menelan kos RM38.5 juta.

Projek membaik pulih kompleks kediaman rasmi itu bermula semasa pentadbiran Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Kata Muhyiddin, kerja-kerja membaik pulih itu dipantau rapat oleh sebuah pasukan petugas yang dianggotai oleh pegawai JKR dan JPM bagi memastikan ia dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan serta hasil yang berkualiti.

“Saya percaya JKR dan JPM yang terlibat secara langsung dalam urusan membaik pulih Seri Perdana mempunyai maklumat yang terperinci berhubung pelaksanaan projek ini.

"Selaras dengan prinsip ketelusan dan integriti yang diamalkan oleh kerajaan, jabatan yang berkenaan boleh tampil untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai berkenaan perkara ini.

“Untuk rekod, saya tidak pernah menduduki Seri Perdana  sepanjang saya berkhidmat sebagai perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu hadir tidak lama selepas dia ditempelak bekas perdana menteri keenam Najib Razak, gara-gara pengubahsuaian yang berlaku di tengah penularan wabak Covid-19.

Untuk pulihara bangunan kerajaan

Ia juga berlangsung kira-kira sebulan sebelum Muhyiddin membuat kenyataan bahawa kerajaan "sudah tiada banyak wang" kerana menangani wabak tersebut.

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng hari ini turut menggesa agar perincian kos membaik pulih Seri Perdana itu didedahkan kepada umum berdasarkan kosnya yang tinggi. 

Mempertahankan ubah suai berkenaan, Muhyiddin berkata, dia menerima laporan daripada JPM pada Mac berhubung kerosakan fizikal pada bangunan Seri Perdana.

Katanya ia melibatkan masalah kebocoran, sistem pencahayaan lama, keadaan fizikal lantai dan bumbung yang telah rosak atau usang, dan pendawaian elektrik serta peralatan mekanikal seperti pendingin hawa yang terlalu usang.

Kebocoran bumbung pada bangunan itu, katanya, turut merosakkan perabot pasang siap (built-in) lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan, manakala sistem pendawaian yang berusia lebih 20 tahun - menurut pakar - boleh mendatangkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera.

“Berdasarkan laporan yang saya terima, pihak JPM juga mengesyorkan agar perolehan perabot dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi mantan perdana menteri keenam (Najib) telah dipindah keluar,” katanya.

Sebahagian besar kos baik pulih Seri Perdana yang agak tinggi itu, jelas Muhyiddin, melibatkan kerja binaan, pendawaian elektrik dan mekanikal, lebih-lebih lagi dengan saiz bangunan itu yang berkeluasan lebih 56,000 kaki persegi.

“Keputusan membaik pulih Seri Perdana dibuat untuk memulihara bangunan milik kerajaan yang menjadi lambang institusi ketua kerajaan dan imej negara ini kepada keadaannya yang asal.

“Jika ia tidak dibaik pulih dengan segera, bangunan warisan kerajaan ini akan mengalami kerosakan yang lebih teruk pada masa hadapan dan kos membaik pulih pastinya akan meningkat,” katanya lagi.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Abdul Latiff Ahmad menjelaskan kos ubah suai itu bernilai RM38.5 juta dengan kelulusan projek dibuat pada 19 Mac 2021 manakala kerja-kerja membaik pulih dilaksanakan pada 29 Mac.

Projek itu dijangka siap pada 7 Dis ini.