Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pemalsuan sijil vaksin Covid-19 digital tidak boleh berlaku'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PARLIMEN l Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Adham Baba berkata tidak mungkin pemalsuan sijil vaksin digital di aplikasi MySejahtera boleh berlaku.

Katanya, sijil vaksin digital yang telah dicetak secara fizikal juga tidak diterima.

"Pemalsuan sijil digital tidak boleh berlaku kerana ia hanya dikeluarkan melalui aplikasi MySejahtera dan mereka yang mencetaknya secara fizikal, sebenarnya kami tidak menerimanya," katanya di Parlimen, hari ini.

Dr Adham berkata demikian dalam sesi jawab lisan bagi soalan Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan berhubung tindakan kerajaan terhadap kumpulan anti vaksin dan pemalsuan sijil digital serta status vaksinasi terkini untuk remaja.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata bahawa pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam sindiket pemalsuan sijil digital vaksin.

Khairy turut menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab kerana ia adalah satu cubaan untuk menggagalkan usaha kerajaan memulihkan negara daripada wabak Covid-19.

Terdahulu, menjawab soalan dari Ahli Parlimen Pandan Dr Wan Azizah Wan Ismail, Dr Adham berkata kementeriannya sedang dalam proses membina alat pengesah sijil vaksin bagi memastikan setiap sijil vaksin digital disahkan melalui kod QR yang dilampirkan.

Dia berkata ketika ini kerajaan menggunakan tindakan advokasi untuk memberikan informasi yang lengkap dan tepat mengenai vaksin Covid-19 untuk menarik minat golongan antivaksin.

Selain itu, Adham juga berkata sebanyak 50 peratus remaja di seluruh negara telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 mereka.

Katanya, dia juga berharap "hampir semua" populasi dewasa di Malaysia akan divaksinasi sepenuhnya menjelang akhir Oktober.

[Baca berita penuh]