Lepas rasmi jadi calon presiden, Pacquiao janji perangi rasuah
GLOBAL | Petinju merangkap ahli politik ternama Filipina, Manny Pacquiao, hari ini secara rasmi menjadi calon presiden negara itu selepas dia selesai mendaftar sebagai calon.
Untuk bergandingan dengannya senator berusia 42 tahun itu memilih bekas datuk bandar Manila, Lito Atienza - seorang warga emas yang dibezakan dengan jarak usia 38 tahun - sebagai naib presiden.
CNN melaporkan Pacquiao mempertaruhkan ikrar untuk memenjarakan kakitangan awam yang terlibat dalam rasuah sebagai langkah membasmi amalan itu dalam kerajaan.
Dia juga berjanji mengatasi masalah kemiskinan, membaiki liputan internet dan menyediakan bekalan elektrik yang menyeluruh.
Pacquiao dan Atienza mendaftarkan nama masing-masing di Manila hari ini.
Pacquiao bagaimanapun tidak akan berdepan secara langsung dengan ketua kerajaan sekarang, Rodrigo Duterte, 76, kerana perlembagaan Filipina mengehadkan tempoh seseorang menjadi presiden satu penggal.
Pun begitu dia disebut-sebut mencalonkan dirinya sebagai naib presiden. Setakat ini belum ada mana-mana ahli politik tampil menawarkan diri untuk menjadi calon presiden yang berpasangan dengan Duterte.
Agensi berita melaporkan Pacquiao memilih Atienza berdasarkan pengalamannya selama berpuluh-puluh tahun menjadi datuk bandar Manila.
Filipina menetapkan 1 hingga 8 Okt sebagai tarikh mendafarkan diri untuk menjadi calon dan tempoh sehingga 15 Nov untuk membuat pindaan.
Setakat ini seorang lagi yang menyertai saingan mengisi Istana Malacanang ialah bekas pelakon yang turut pernah menjadi datuk bandar Manila, Francisco Domagoso yang menggunakan nama pentas Isko Moreno, 46.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai