Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Ganja: Penawar, gentian industri atau ancaman negara?

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Pada tarikh 2 Disember 2020 yang lalu, Suruhanjaya Dadah Narkotik PBB telah membuat ketetapan untuk mengeluarkan kanabis dan resin kanabis daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 pindaan Protokol 1972 (Konvensyen 1961).

Walaubagaimanapun, kanabis masih kekal dikawal ketat di bawah Jadual I Konvensyen 1961.

Jadual IV bermaksud: Certain drugs listed in Schedule I that are highly addictive and highly liable to abuse and rarely used in medical practice. 

Manakala Jadual I bermaksud: Substances that are highly addictive and highly liable to abuse, or that are convertible into drugs that are similarly addictive and liable to abuse.

Apabila kanabis tidak lagi tersenarai di dalam Jadual IV, implikasinya ialah ia memberi ruang kepada pihak yang berkepentingan untuk menggunakan kanabis di dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Ketetapan yang dibuat adalah susulan daripada cadangan dari agensi WHO yang bertanggungjawab menyediakan garis panduan kawalan dadah dan menjadi rujukan kepada negara di dunia.

Walau bagaimanapun, ia tetap menjadi hak mutlak setiap negara untuk mengawal atur kanabis sama ada tetap mengharamkannya, atau membuat liberasi perundangan yang berkenaan untuk membenarkan penggunaan kanabis di dalam sektor yang tertentu seperti R&D dan perubatan.

Gambar fail, pakar sains neuro Dr Mohamad Aris Mohd Moklas.

Seperti yang dilaporkan oleh media masa pada 4 Disember 2020, Kementerian Dalam Negeri menekankan kanabis dan bahan-bahan berkait kanabis kekal dikawal bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tindakan undang-undang tetap akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang itu seperti sedia ada.

Pelbagai reaksi di Malaysia timbul apabila kerajaan Thailand pada tahun 2018 memutuskan untuk membenarkan penggunaan kanabis untuk tujuan R&D dan perubatan. 

Thailand merupakan negara pertama dan pemain utama di rantau ini yang melakukan proses legalisasi kanabis untuk tujuan seperti yang dinyatakan.

Proses liberalisasi penggunaan kanabis terus berkembang apabila pada tahun ini Lembaga Kawalan Narkotik Thailand telah mengeluarkan kanabis daripada senarai narkotik kategori 5 bagi membolehkan penggunaan lebih meluas untuk tujuan perubatan. 

Sehubungan dengan itu, penanaman kanabis adalah dibenarkan tetapi melalui proses permohonan dan pemantauan yang ketat oleh agensi yang berkenaan.

Rentetan dari liberalisasi di peringkat PBB dan legalisasi kanabis di Thailand dan juga negara-negara lain, terdapat permintaan di kalangan warga tempatan agar kerajaan Malaysia turut melakukan perkara yang sama seperti di Thailand.

Herba asal Asia Tengah

Sama ada wajar atau tidak, banyak perdebatan akademik yang boleh dirujuk untuk melihat pada perspektif tersebut.

Mungkin pembaca perlu memahami serba sedikit latar belakang kanabis agar pemahaman dan pandangan tidak berlandaskan kepada stigma semata-mata. 

Secara umumnya kanabis lebih dikenali sebagai ganja di kalangan masyarakat tempatan.


BACA BERKAITAN:

Ganja rawat tikus Alzheimer: Respon positif - penyelidik UPM

Kumpulan proganja perubatan gesa reformasi dasar dadah

Izzah, Dr Dzul soal: Apa jadi reformasi undang-undang dadah?

Syed Saddiq: K’jaan patut teliti ganja sebagai rawatan alternatif


Tumbuhan tersebut dikenali secara saintifiknya sebagai genus Cannabis dari keluarga Cannabaceae. Antara spesis pokok dari genus Cannabis ialah Cannabis sativa, Cannabis indica dan Cannabis ruderalis. 

Herba kanabis ini dari segi sejarahnya berasal dari Asia tengah.

Kanabis diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 adalah kerana kandungan bahan aktifnya yang bersifat psikoaktif iaitu THC (Delta 9 tetrahydrocannabinol).

Bahan psikoaktif merujuk kepada mana-mana bahan yang mampu memberi kesan terhadap otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada mod, kewarasan, tingkah laku dan kebolehan berfikir.

Pada masa yang sama, kanabis digunakan di dalam rawatan penyakit tertentu di negara yang membenarkan pengunaan kanabis untuk merawat atau mengurangkan simptom penyakit yang berkenaan.

Antara ubat-ubatan yang berasaskan kepada THC yang berada di pasaran adalah seperti Dronabinol, Nabilone dan Sativex.

Pada masa sekarang terdapat kecenderungan dikalangan penyelidik untuk mengaitkan kebolehan kanabis di dalam pencegahan dan perawatan penyakit neurodegeneratif, seperti penyakit Alzheimer, Parkinson dan sebagainya.

Penyakit neurodegeneratif ini disebabkan oleh kematian neuron di otak dan seterusnya menyebabkan kemerosotan fungsi pada otak.

Pelbagai teori telah dikemukakan untuk menjawab punca kematian sel saraf tersebut.

Bukti kajian menunjukkan THC berperanan di dalam kemandirian sel saraf dan mampu merangsang pertumbuhan sel saraf pada haiwan.

Sejauh mana THC mampu merawat atau melambatkan proses kemerosotan neuron di kalangan pesakit yang menderita penyakit neurodegeneratif adalah terlalu awal untuk disimpulkan. 

Dapatan kajian menggunakan haiwan kajian adalah petanda awal sama ada sebatian yang berasaskan kepada kanabis mampu mengatasi permasalahan tersebut.

Selain dari itu, fiber atau bahan gentian yang berasaskan dari pokok kanabis mempunyai potensi yang mampan dan berdaya saing. Pokok kanabis yang dikhususkan untuk industri fiber dikenali sebagai hemp. 

Perlu ditekankan hemp adalah varieti pokok kanabis yang tidak mempunyai sebarang bahan psikoakktif, iaitu THC. 

Fiber berasaskan pokok kanabis mempunyai ciri yang unik berbanding fiber dari jenis pokok yang lain.

Gambar hiasan, ladang Hemp.

Fiber kanabis berpotensi untuk dikembangkan kerana mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran global. Kitaran penanaman yang singkat berupaya untuk mendapatkan pulangan modal dengan cepat, dan ia adalah penting untuk pekebun yang berskala kecil.

Pada masa yang sama, hemp mengandungi sebatian seperti CBD (cannabidiol) yang tinggi. Sebatian CBD mempunyai potensi pasaran yang luas dan permintaan CBD di peringkat global adalah tinggi. 

CBD banyak digunakan sebagai bahan makanan tambahan, dan rawatan semulajadi yang tidak mendatangkan sebarang kesan yang negatif.

Walaubagaimanapun, hemp merupakan spesis kanabis dan ia tertakluk kepada Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tanaman kanabis merupakan tanaman yang bernilai tinggi samada untuk sektor R&D, kesihatan, fiber, makanan tambahan dan sebagainya. Liberalisasi undang-undang yang berkaitan kanabis untuk sektor yang berkenaan adalah perlu.

Penggunaan kanabis untuk sektor R&D dan industri yang berkaitan perlulah diberi penekanan agar potensinya di dalam memakmurkan ekonomi dapat dicapai melalui industri tanaman bernilai tinggi.

Penubuhan badan yang mengawal atur di peringkat kebangsaan adalah perlu untuk berperanan menjadi pusat kawalan dan rujukan untuk aktiviti R&D dan industri kanabis yang berkenaan. 

Pada masa yang sama ia boleh meyelaraskan aktiviti R&D untuk mengelak pertindihan kajian dan mengoptimumkan kepakaran yang ada di Malaysia.

Universiti awam dan institusi penyelidikan di Malaysia mempunyai keupayaan dan kepakaran di dalam bidang pertanian, perubatan, farmaseutikal dan bidang-bidang yang berkaitan.

Kanabis mempunyai nilai potensi yang tinggi dan perlu dieksploitasi untuk mempelbagaikan tanaman yang bernilai tinggi. 

Sejarah menunjukkan bahawa kanabis merupakan tanaman yang hidup subur di Malaysia pada suatu ketika dahulu. Seharusnya potensi tanaman asli yang berpotensi seharusnya dieksploitasi untuk kemakmuran negara.


PROF MADYA DR MOHAMAD ARIS MOHD MOKLAS ialah pakar sains neuro Jabatan Anatomi Manusia Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.