Skip to main
Logo Malaysiakini

MP: Pemain industri perlu bersuara jika ada SOP 'tak munasabah'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemain industri digesa untuk bersuara terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang dilihat sebagai tidak munasabah dan menghalang proses pemulihan ekonomi.

Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming berkata, dia akan membantu membawa masalah itu kepada empat menteri kanan yang bertanggungjawab terhadap peraturan tersebut.

Menurut Ong, antara peraturan yang bermasalah adalah pembelian makanan dan minuman di pawagam hanya boleh dibuat secara dalam talian, ketika pelanggan menempah tiket wayang.

"Ini tidak masuk akal kerana makan di premis dibenarkan. Sukar untuk melihat yang berbaris dengan penjarakan fizikal selama beberapa minit untuk membeli air mineral dan bertih jagung adalah lebih bahaya berbanding makan di restoran secara berkumpulan tanpa memakai pelitup muka untuk tempoh masa yang lebih lama," katanya dalam kenyataan.

Katanya, peraturan itu akan memberi kesan kepada industri pawagam memandangkan penjualang makanan dan minuman merangkumi 40 peratus pendapatan mereka.

Ong Kian Ming

Ong juga membangkitkan larangan untuk penonton di pawagam untuk duduk di kerusi pasangan kecuali mereka adalah ahli keluarga, di saat peraturan itu tidak dikenakan ketika makan di restoran.

Dia juga tidak setuju dengan larangan individu berusia 17 tahun ke bawah untuk menonton wayang, walaupun program vaksinasi untuk golongan itu telah pun bermula.

"Ini hanya beberapa SOP yang tidak munasabah dan memberi kesan kepada satu industri...Saya pasti ada lagi SOP yang tidak munasabah dan memberi kesan negatif terhadap industri lain.

"Saya menggesa wakil dan persatuan dalam industri-industri ini untuk terus menghubungi saya berkenaan SOP yang tidak munasabah agar perkara ini boleh dibangkitkan secara terbuka," katanya lagi.

Pada masa ini, pawagam di negeri di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan untuk beroperasi dengan 50 peratus kapasiti.

Kapasiti di pawagam di negeri di bawah Fasa 3 pula adalah 80 peratus, manakala tiada had untuk negeri di bawah Fasa 4.

Bagaimanapun, SOP untuk pembelian makanan dan minuman adalah sama untuk semua fasa, iaitu ia perlu dibeli secara dalam talian.