Skip to main
Logo Malaysiakini

Kajian Oxford: Kemungkinan individu divaksin sebar virus Covid-19 lebih rendah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Vaksinasi penuh Covid-19 masih dapat melindungi orang lain yang berhubung dengan individu yang telah divaksin walaupun berlaku jangkitan breakthrough (jangkitan dalam kalangan mereka yang telah divaksinasi) melibatkan varian Delta.

Bagaimanapun terdapat tanda-tanda yang perlindungan vaksin kian berkurang selepas beberapa bulan.

Dapatan ini dapat mengurangkan kebimbangan yang dibangkitkan beberapa kajian sebelumnya yang menyatakan individu yang telah divaksin tetap dapat menyebarkan jangkitan, sama seperti mereka yang belum divaksin.

Berdasarkan analisis terhadap data pengesanan kontak di England, kemungkinan untuk individu yang divaksin penuh dengan Pfizer untuk menyebarkan jangkitan setelah jangkitan breakthrough, berkurang 65 peratus.

Bagaimanapun, kesan itu jauh berkurang jika dibandingkan dengan varian Alpha sebelum ini, di mana vaksin mengurangkan risiko jangkitan sebanyak 82 peratus.

Vaksin AstraZeneca dilihat kuran berkesan dalam menghalang jangkitan. Vaksinasi penuh dengan vaksin jenis itu mengurangkan jangkitan varian Alpha sebanyak 63 peratus dan varian Delta sebanyak 36 peratus.

Bagaimanapun, bukti berkenaan perbezaan dua jenis vaksin itu dikira sebagai "lemah" kerana data yang tidak mencukupi untuk melihat perbezaan yang jelas.

Peratusan ini tidak merangkumi kesan sederhana vaksin dalam mengurangkan risiko jangkitan, yang telah ditunjukkan dalam beberapa kajian sebelum ini melibatkan varian Delta.

Analisis ini dilakukan oleh pasukan di Universiti Oxford dan didanai kerajaan UK. Kertas kajian mereka diterbitkan di medRxiv pada Rabu lalu untuk penilaian.

Ia merangkumi 99,957 kes indeks yang menjalani ujian RT-PCR antara 2 Januari hingga 2 Ogos, serta 151,821 kontak mereka. Tarikh ujian digunakan sebagai proksi untuk memastikan mereka dijangkiti varian Alpha atau Delta. Bagaimanapun, 12,657 kontak (8.3 peratus) tidak dimasukkan dalam analisis kerana data tidak lengkap.

Dapatan analisis ini menyokong kajian yang dibuat penyelidik di Guangdong Provincial Centre for Disease Control dan Universiti Hong Kong, berdasarkan data pengesanan kontak penularan varian Delta di GuangDong, China pada Mei.

Mereka melaporkan yang vaksinasi penuh dengan vaksin viru tak aktif yang digunakan di sana (kebanyakannya dari Sinovac dan Sinopharm) mengurangkan risiko menjangkiti kontak rapat sebanyak 65 peratus.

Kajian ini belum dinilai dan juga dimuat naik di medRxiv pada 13 Ogos lalu.

Gambaran yang sentiasa berubah

Sebelum ini, kajian lebih awal terhadap mereka yang dijangkiti varian Delta mendapati individu yang telah divaksin dan belum divaksin memiliki jumlah virus yang sama di hidup dan kerongkong, seperti yang ditunjukkan dalam nilai kitaran ambang (Ct) dalam ujian RT-PCR.

Ia membangkitkan kebimbangan yang individu yang sudah divaksin turut mudah menjangkiti orang lain apabila mereka dijangkiti varian Delta.

Ia berbeza dengan varian lebih awal di mana satu dos vaksin saja mengurangkan risiko menjangkiti orang lain sebanyak separuh.

Bagaimanapun, kajian seterusnya telah menggantikan dapatan tersebut dengan menambah gambaran yang lebih terperinci.

Antaranya kajian di Singapura mendapati walaupun nilai Ct individu yang telah divaksin dan belum divaksin pada mulanya rendah (menunjukkan jumlah virus yang tinggi), jangkitan terhadap individu divaksin hilang lebih cepat dan nilai Ct mereka berbeza dengan individu belum divaksin selepas seminggu.

Kajian pihak Singapura

Sementara itu, penyelidik di Belanda cuba membiakkan virus menggunakan sampel swab daripada pekerja kesihatan yang sudah divaksin dan belum divaksin - yang merupakan satu cara untuk menentukan virus masih berdaya hidup dan boleh berjangkit atau tidak.

Mereka mendapati virus yang diambil daripada individu yang telah divaksin lebih sukar untuk dibiakkan.

Ini menunjukkan kebanyakan virus (tetapi bukan semua) dalam badan individu telah divaksin mungkin telah "mati", berbeza dengan virus dalam badan individu belum divaksin.

Bagaimanapun, sukar untuk menafsirkan kajian itu kerana skalanya yang kecil, serta hampir semua sampel belum divaksin yang digunakan diambil ketika strain D614 lebih banyak, berbanding sampel individu divaksin yang diambil ketika penularan varian Delta.

Kajian pihak Belanda

Menyokong dos penggalak?

Penyelidik Oxford juga cuba menilai berapa lama pengurangan dalam jangkitan Covid-19 selepas dos kedua vaksin.

Mereka mendapati kemampuan vaksin Pfizer dan AstraZeneca untuk menghalang jangkitan berkurang pada kadar yang sama.

Namun, memandangkan AstraZeneca memang kurang mampu untuk menghalang jangkitan, penerimanya dilihat dapat menjangkiti orang lain - sama seperti orang yang tidak divaksin - selepas tiga bulan dos kedua.

Kesan vaksin Pfizer juga banyak merosot pada tempoh itu namun ia sedikit sebanyak masih mengurangkan penyebaran jangkitan.

"Varian Delta telah menular di seluruh dunia dan menyebabkan peningkatan semula jangkitan walaupun di kawasan dengan liputan vaksin yang tinggi. Peningkatan jangkitan daripada individu yang positif walau telah divaksin adalah sebab utama penularannya.

"Kempen vaksinasi penggalak yang dipertimbang dan dilaksanakan mungkin membantu dalam menghalang serta mengawal jangkitan," kata penyelidik itu.

[Baca berita asal]