Skip to main
Logo Malaysiakini

Penambahan mahkamah jenayah seksual kanak-kanak satu keperluan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penambahan Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak (JSKK) adalah keperluan memandangkan terdapat peningkatan kes yang tinggi direkodkan di setiap negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita dan Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial Dewan Rakyat Azalina Othman Said berkata berikutan itu, satu permohonan untuk membuat kunjungan hormat kepada Ketua Hakim Negara akan dibuat bagi membincangkan dan mencari penyelesaian kepada isu itu.

“…ia termasuk meningkatkan bilangan perjawatan khusus pegawai kehakiman gred Jusa C bagi hakim mahkamah JSKK, membangunkan kapasiti dan memperkuatkan kerjasama pelbagai agensi untuk mempercepatkan penyelesaian kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rumusan keputusan itu dibuat selepas mesyuarat ketiga Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial baru-baru ini.

Antara keputusan lain ialah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan menyediakan kertas kajian yang memperincikan mekanisme penubuhan Suruhanjaya Bebas Kanak-kanak (SBKK) yang dipersetujui jawatankuasa terbabit bersetuju untuk diberi tempoh selama dua minggu bagi diselesaikan sebelum dibawa semula ke mesyuarat seterusnya.

Selain itu, Azalina berkata tiga jawatankuasa kerja dibentuk di bawah Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga (JMKRT) iaitu Jawatankuasa Advokasi dan Pembangunan Kapasiti, Perlindungan dan Data.

Menurutnya hala tuju penubuhan jawatankuasa itu bertujuan memperhalusi tindakan serta mekanisme pelaksanaan dan pengendalian kes secara holistik dan efektif termasuk menambah baik aspek advokasi, perlindungan dan pelaporan data.

Kata ahli parlimen Pengerang itu lagi, mesyuarat bersepakat untuk melibatkan ahli Jawantankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial sebagai pemerhati dalam JMKRT.

“Untuk mesyuarat yang akan datang, Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial telah mencadangkan agar menjemput NGO dan pihak berkepentingan lain untuk turut hadir ke dalam perbincangan selepas ini,” katanya.

- Bernama