Skip to main
Logo Malaysiakini

109 kematian dilaporkan semalam, terendah dalam 69 hari

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan sejumlah 109 kematian Covid-19 semalam (2 Oktober), menjadikan jumlah kematian keseluruhan kepada 26,565 kes.

Ia merupakan angka kematian terendah yang dilaporkan untuk tempoh 69 hari.

Daripada jumlah kematian baru itu, 30.3 peratus (33 pesakit) meninggal dunia sebelum dapat menerima rawatan di hospital.

Pulau Pinang merekodkan kes kematian baru tertinggi dengan 18 kes (16.5 peratus), disusuli dengan Sabah (13), Selangor (13), Johor (11), Perak (10), Sarawak (9), Terengganu (9), Kedah (8), Kelantan (5), Pahang (4), Kuala Lumpur (4), Perlis (3), Melaka (1), dan Negeri Sembilan (1).

Tiada kematian baru yang dilaporkan di Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 89 daripada 109 kes kematian yang dilaporkan (81.7 peratus) berlaku dalam tujuh hari terakhir.

Kematian selebihnya berlaku lebih seminggu yang lalu tetapi hanya direkodkan semalam kerana kelewatan dalam pelaporan data.

Purata kematian untuk tempoh tujuh hari terakhir adalah 201 kes, berbanding purata 312 kes untuk tempoh 30 hari terakhir - menandakan trend penurunan.

Setakat semalam, terdapat 155,823 kes aktif Covid-19 - berkurang 18.6 peratus berbanding 191,434 kes seminggu yang lalu.

Jika dibandingkan dengan 30 hari lalu, bilangan kes aktif berkurang sebanyak 40.6 peratus daripada 262,543 kes.

Kemas kini KKM semalam juga menunjukkan maklumat lanjut mengenai jangkitan Covid-19 semalam.

Daripada 10,915 kes baru yang dilaporkan, 656 dapat dikesan daripada kluster sedia ada.

Daripada kes berkaitan kluster, 380 kes (57.9 peratus) berkaitan tempat kerja manakala 194 kes (29.6 peratus) berkaitan jangkitan dalam komuniti.

Sebanyak 79 kes (12 peratus) berkaitan dengan kluster kumpulan berisiko tinggi manakala baki dua kes (0.3 peratus) berkaitan dengan kluster pusat tahanan dan satu kes (0.2 peratus) berkaitan institut pendidikan.

Sebelumnya, Kementerian Kesihatan mengeluarkan statistik kematian bersama dengan jumlah kes Covid-19 baru pada waktu petang.

Statistik kematian kini dikeluarkan selepas tengah malam bersama dengan data lain yang lebih terperinci.