Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR Johor sasar tanding separuh kerusi DUN

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor meletakkan sasaran untuk bertanding separuh daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata tumpuan akan diberikan kepada kerusi campuran memandangkan ia memberikan kelebihan kepada parti campuran seperti PKR.

"Potensi kami adalah kerusi-kerusi campuran…jika kerusi itu tradisinya adalah campuran dan diberikan kepada parti yang mewakili semua kaum maka potensi untuk menang adalah besar.

"Namun, perkara ini masih belum berada dalam peringkat untuk diputuskan dan rundingan antara parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).

"Jadi saya harapkan bila tiba masanya untuk diputuskan mereka akan beri sokongan kepada PKR," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan kepada seluruh cabang PKR Johor menerusi Program Jelajah Peduli Nadi Rakyat, di Johor Bahru hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai antara kerusi DUN yang berpotensi ditandingi PKR Johor dalam PRU15.

Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata PKR Johor pada masa sama sudah melakukan persediaan lebih 80 peratus bagi menghadapi PRU15 termasuk melantik penyelaras di peringkat Parlimen dan DUN.

- Bernama