Skip to main
Logo Malaysiakini

Lim: Jurang pendapatan dalam RMK12 ‘tidak jujur’

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mengkritik jurang pendapatan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang disifatkannya sebagai "tidak jujur."

Lim berkata walaupun lebih banyak yang perlu dilakukan untuk merapatkan jurang pendapatan antara isi rumah bumiputera dan bukan bumiputera, kerajaan telah memberi gambaran keadaan 'secara berlebihan.'

Dia menunjukkan pada tahun 1989, pendapatan isi rumah bumiputera menengah adalah RM680 manakala bagi isi rumah Cina pula RM1,180, dengan perbezaan RM500.

Pada tahun 2019 pula, katanya RM5,400 untuk isi rumah bumiputera dan RM7,400 untuk isi rumah Cina, dengan perbezaan RM2,000.

Oleh itu, Lim berkata kerajaan telah menyatakan ini sebagai jurang pendapatan purata antara bumiputera dan isi rumah Cina yang berlipat kali ganda.

Memetik ahli akademik Lee Hwok Aun, Lim menunjukkan secara nisbah jurang pendapatan sebenarnya semakin berkurangan.

“Seperti dibangkitkan ahli akademik Lee Hwok Aun, meskipun perbezaannya meningkat empat kali ganda, pendapatan isi rumah bumiputera sebenarnya berkembang dengan pantas secara signifikan: 700 peratus antara 1989 dan 2019, berbanding 530 peratus untuk isi rumah Cina.

“Secara perkadaran, jurang telah merapat. Pada 1989, pendapatan isi rumah penengah bumiputera adalah 58 peratus berbanding isi rumah Cina; pada 2019, perkadarannya telah meningkat menjadi 73 peratus.

“Meskipun masih banyak perlu dibuat untuk merapatkan jurang itu, untuk menyatakan bahawa jurang itu melebar dalam erti kata mutlak semata-mata, bukan dalam erti kata perkadaran, adalah tidak jujur secara teknikalnya,” kata Lim.

Katanya lagi, terdapat juga keperluan untuk melihat pendapatan isu rumah penengah di bandar dan kawasan pedalaman.

Katanya, pendapatan isi rumah penengah orang India bandar adalah lebih rendah berbanding bumiputera bandar, berdasarkan analisis Lee.

“Tak ada data terperinci (granular) berkenaan perbezaan antara Orang Asli, populasi bumiputera di Sabah dan Sarawak, berbanding Semenanjung Malaysia seperti yang dilihat dalam RMK sebelum ini.

“Bukti anekdot (daripada pengalaman) mencadangkan bahawa golongan bumiputera yang lebih miskin adalah dari Orang Asli, dari Sabah dan Sarawak.

“Oleh itu, RMK12 perlu mengubah haluan manfaat pertumbuhan ekonomi dan dasar pilih kasih yang berleluasa, kepada orang miskin tanpa mengira kaum (termasuk Cina dan India) serta dari Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.

Lim yang juga setiausaha agung DAP Lim Guan Eng menafikan dakwaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa terdapat taklimat dan perbincangan antara Unit Perancang Ekonomi (EPU) dengan pihak pembangkang berhubung RMK12.

Kata ahli parlimen Bagan itu, Ismail mungkin terkeliru antara RMK12 dengan rundingan Belanjawan 2022 antara pembangkang dengan kementerian kewangan.

“Ismail silap untuk mengatakan bahawa buat pertama kali, pihak pembangkang diberikan taklimat dan perbincangan dengan EPU tentang RMK12, dan bahawa ia (taklimat dan perbincangan) membuahkan hasil.

“DAP menyatakan tiada taklimat atau perbincangan sedemikian tentang RMK12 yang diadakan oleh EPU dengan pembangkang.

“Ismail (sama ada) mendapat maklumat salah, atau dia terkeliru antara RMK12 dengan rundingan Belanjawan 2022 yang sedang berjalan antara pembangkang dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Lim, Ismail harus memastikan maklumat diberikan tepat jika ingin menjadi contoh buat ahli kabinetnya, lebih-lebih lagi dengan petunjuk prestasi utama (KPI), keberhasilan kebahagiaan (KHO), dan laporan pencapaian 100 hari yang dikenakan ke atas menteri kabinet untuk membuktikan prestasi mereka.

KHO (key happiness outcome) merupakan instrumen untuk mengenal pasti dan memantau kepuasan serta suara rakyat melalui konsep Keluarga Malaysia.

Kata Lim, KPI dan KHO haruslah bergantung kepada fakta, angka, sains dan data.

Sedangkan katanya, kegagalan untuk bergantung pada instrumen berkenaan telah menyebabkan kegagalan membendung Covid-19 dan pemulihan ekonomi daripada kemelesetan meskipun setelah lapan pakej rangsangan bernilai RM530 bilion dilancarkan.

Pada 30 September, Tengku Zafrul mengadakan rundingan Belanjawan 2022 siri kedua dengan pemimpin PH - yang turut dihadiri Lim - dan akan dibentangkan 29 Oktober.