Skip to main
Logo Malaysiakini

Bagaimana Daim, orang kaya Malaysia guna Singapura simpan duit di luar negara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KERTAS PANDORA | Ketika kebanyakan kanak-kanak lelaki memiliki peranti dan alat permainan, anak kepada Daim Zainudddin menjadi pemilik firma Kepulauan Virgin Britain pada usia sembilan dan 12 tahun.

Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Muhammed Amin Zainuddin Daim lahir pada tahun 1995 dan 1998 masing-masing menjadi pemegang saham Newton Invest & Finance Limited (BVI) pada tahun 2007, yang memiliki hartanah di London bernilai GBP10 juta waktu itu.

Menurut dokumen yang diperoleh oleh Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) dan dilihat oleh Malaysiakini, mereka ialah pemegang saham bersama dengan ibu mereka, Naimah Abdul Khalid, yang merupakan isteri ketiga bekas menteri kewangan itu.

Menjelang tahun 2017, ketika adik beradik ini menjangkau usia awal dua puluhan, mereka menjadi pemilik beberapa syarikat luar pesisir yang ditubuhkan di tempat perlindungan cukai itu, termasuk Splendid International Ltd (BVI) yang memiliki hartanah London bernilai GBP12 juta (kira-kira RM65 juta pada kadar pertukaran 2017).

Newton Invest & Finance Limited (BVI) dan Splendid International (BVI) adalah antara senarai firma pemegang amanah dan syarikat berkaitan dengan Daim yang diperbadankan di tempat perlindungan cukai berkenaan.

Ini didedahkan Pandora Papers, kumpulan dokumen yang diperoleh ICIJ dan dilihat oleh Malaysiakini.

Sumber tanpa nama berkongsi maklumat fail kewangan sulit dengan ICIJ sebesar 2.94 terabyte, berjumlah lebih 11.9 juta dokumen dan rekod lain, daripada 14 penyedia perkhidmatan firma luar pesisir yang menubuhkan dan menguruskan syarikat shell dan pemegang amanah di 'syurga perlindungan cukai' di seluruh dunia.

Syarikat shell ialah firma atau perbadanan yang hanya ada di atas kertas tetapi mungkin mempunyai akaun bank atau mungkin mengadakan pelaburan pasif atau menjadi pemilik aset yang berdaftar.

Memiliki akaun, syarikat atau firma pemegang amanah luar pesisir, bagaimanapun, tidak semestinya seseorang itu terlibat dalam urus niaga haram dan tidak sah untuk menubuhkan entiti luar pesisir.

Dikenali sebagai bapa korporat Malaysia, yang memiliki pengaruh besar dalam bidang politik, Daim setakat ini belum masuk dalam senarai Forbes 50 orang paling kaya di Malaysia.

Ini mungkin kerana urusan perniagaannya sering menjadi misteri, dengan pemerhati korporat kadang-kadang meneliti pegangannya melalui aktiviti melibatkan ahli keluarga terdekatnya atau rakan perniagaan yang dikenali.

Salah seorang rakan Daim ialah Josephine Premla Sevaretnam, bekas peguam dan timbalan pendakwa raya, yang pernah berkhidmat bersama Daim, sebelum memegang jawatan penting dalam pelbagai syarikat.

Ini termasuklah bank Switzerland ICB Banking Group, yang dimiliki oleh Daim sebanyak 74.4 peratus, ketika disenaraikan di London Investment Investment Market pada tahun 2007.

Nama Josephine muncul lagi di Newton Invest & Finance Limited (BVI) dan Splendid International Ltd (BVI) sebagai pengurus perniagaan, yang berpusat di Bryanston Square, London.

Bryanston Square merupakan dataran taman seluas 800 kaki darab 200 kaki di Marylebone, London menjadi alamat yang muncul berkali-kali dalam carian yang melibatkan anak-anak Daim dan harta benda atau syarikat di London.

Sebagai contoh, anak perempuannya yang berpangkalan di Switzerland Aslinda Daim-Pan, yang mengambil nama keluarga suaminya merupakan pengarah syarikat Britain 8 Bryanston Square Freehold Limited, menurut pendaftar syarikat UK Companies House. Syarikat "pengurusan hartanah" itu, bagaimanapun, hanya memiliki aset GBP5, menurut pemfailan terakhirnya.

Sebuah pangsapuri tiga bilik seluas 1500 kaki persegi di Bryanston Square, London dijual dengan harga lebih dari GBP3 juta, seperti yang ditunjukkan oleh senarai hartanah.

Selain dua syarikat BVI itu, kedua-dua anak Daim tadi, yang kini berusia awal hingga pertengahan dua puluhan, dan ibu mereka juga merupakan pemegang saham di beberapa syarikat luar pesisir lain yang memiliki hartanah di London.

Dokumen yang dilihat oleh Malaysiakini menyatakan syarikat tersebut adalah syarikat pelaburan atau syarikat pengurusan hartanah, dengan hartanah berkenaan memperoleh pendapatan sewa dan dibeli melalui pinjaman daripada bank Barclays di Knightsbridge, London.

Dalam Pandora Papers sahaja, syarikat dan firma pemegang amanah yang dimiliki oleh anak-anak, isteri atau rakan perniagaan Daim bersama-sama memegang aset bernilai sekurang-kurangnya GPP25 juta (kira-kira RM141 juta).

Ketika dihubungi, Daim berkata semua cukai telah dibayar sepenuhnya di setiap tempat (jurisdiction) di mana dia menjalankan perniagaan dan meraih pendapatan.

Dia berkata, tidak semua firma pemegang amanah yang dikaitkan dengannya dalam Pandora Papers adalah miliknya dan sebahagiannya adalah milik anak-anaknya dan dia tiada pengetahuan mahupun kawalan terhadapnya.

"Saya sudah bersara daripada perniagaan sudah agak lama, dan pemegang amanah adalah sebahagian daripada perancangan harta pusaka," katanya lagi.


Baca: 'Pemegang amanah luar pesisir sah' - Daim kesal 'obsesi' M'kini terhadapnya


Singapura, pintu masuk ke tempat lindung cukai

Daim hanya salah seorang daripada beberapa rakyat Malaysia kaya dan berkuasa yang memegang aset di tempat berlindung cukai seperti BVI, Jersey (sebahagian dari Channel Islands of the British Isles) atau Kepulauan Cook.

Lain-lain yang berkaitan dengan entiti luar pesisir di tempat perlindungan percukaian ini termasuk Pengerusi Eksekutif Westport Holdings Bhd G Gnanalingam, yang termasuk dalam senarai billionaire Forbes tahun ini, dengan nilai bersih AS$1.7 bilion (RM7.12 bilion).

Menurut Pandora Papers, Gnanalingam memiliki syarikat BVI, Paisley Marketing Limited, yang setakat 2016 memegang aset berjumlah AS$2 juta di Bank Standard Chartered Singapura.

Ketika dihubungi, wakil Westports memberitahu Malaysiakini yang syarikat luar pesisir itu ditubuhkan mengikut undang-undang dan menggunakan dana yang sah pada 2008, untuk memegang pelaburan dan polisi insurans hayat.

Katanya lagi, syarikat itu dibubarkan pada 2020 selepas ia diberikan kepada anak perempuan Gnanalingam bernama Shaline.

Tiong Ik King, adik kepada taikun balak dan media bahasa Cina Tiong Hiew King, pula dikaitkan dengan Roxton Investments Ltd yang berpangkalan di BVI, dengan aset sebanyak AS$20 juta pada 2017 (kira-kira RM86 juta berdasarkan kadar tukaran pada masa itu).

Malaysiakini telah menghantar permintaan untuk mendapatkan komen Ik King berhubung perkara ini.

Gnanalingam dan Shaline

Satu hal sama antara semua syarikat luar pesisir pegangan oleh rakyat Malaysia yang kaya dan berkuasa itu ialah Singapura dijadikan pintu masuk untuk mengalihkan aset ke tempat berlindung cukai.

Mempunyai harta di luar negara, atau memiliki syarikat atau akaun luar pesisir di luar negara bukanlah suatu kesalahan.

Pemilik firma atau badan pemegang amanah luar pesisir juga tidak wajib menyatakan entitinya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri kerana di atas kertas, semua dana yang dipindahkan ke entiti luar pesisir sepatutnya sudah dikenakan cukai.

Namun, dalam beberapa keadaan, amalan memiliki syarikat luar pesisir dikaitkan dengan tindakan mengelak atau menghidarkan cukai. Dalam kes lain, ini usaha untuk menjaga kerahsiaan atas pelbagai alasan.

Beberapa pemimpin negara di dunia telah menghadapi tekanan politik selepas didedahkan menjadi pemilik syarikat atau badan pemegang amanah luar pesisir, dengan perdana menteri Iceland Sigmundur Davíð Gunnlaugsson meletak jawatan setelah pendedahan Panama Papers pada 2016.

Pakar industri memberitahu Malaysiakini hingga sekitar satu dekad yang lalu, ketika terdapat lompong sistem kewangan di peringkat antarabangsa, akaun dan syarikat luar pesisir sememangnya digunakan untuk mengelak dan menghindari cukai. Sekarang, ia lebih sukar dilakukan.

"(Hari ini) saya akan menyebutnya pengoptimuman cukai dan pengurusan harta (bukan mengelak cukai)," kata seorang perunding cukai kepada portal tersebut dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan untuk mengelakkan bahaya hubungannya dengan pelanggan.

"Hari-hari menggunakan firma pemegang amanah dan syarikat luar pesisir untuk dengan mudah menghindari membayar cukai telah berlalu (kerana) banyak negara telah memperbaiki peraturan mengenai pengubahan wang haram dan kegiatan wang haram.

"Mengelakkan cukai pada masa kini jauh lebih sukar daripada, katakanlah, 10 tahun yang lalu," katanya.

Kenapa Singapura?

Tetapi bagaimana Singapura menjadi pintu masuk ke tempat percukaian Caribbean, dan mengapa ia merupakan laluan popular bagi orang kaya Malaysia yang ingin memindahkan wang mereka?

Jawapannya ada pada syarikat perkhidmatan korporat yang merupakan persamaan antara semua rakyat Malaysia dengan nilai kekayaan tinggi yang dipaparkan dalam Kertas Pandora itu.

Syarikat berpengkalan di Singapura yang paling biasa digunakan menurut Kertas Pandora Papers, adalah Asiaciti Trust dan Trident Trust (yang mempunyai pejabat di seluruh dunia).

Penyediaannya cukup mudah - seseorang boleh melibatkan syarikat perkhidmatan korporat di Singapura dan menyatakan niat mereka untuk menubuhkan sebuah firma pemegang amanah atau syarikat di tempat perlindungan cukai dan syarikat itu akan menangani semua urusan dokumen.

Dokumen penubuhan dan surat-menyurat yang dilihat oleh Malaysiakini menunjukkan pelanggan hanya perlu menunjukkan bukti identiti dan tempat tinggal, menyatakan dalam bentuk sumber dana untuk aset tersebut, melengkapkan dokumen sederhana lain dan mengeluarkan sejumlah kecil beberapa ratus dolar AS untuk penubuhan entiti luar pesisir.

Terdapat juga yuran tahunan untuk memastikan syarikat tetap aktif dan mengekalkan akaunnya.

Selain melalui prosedur biasa menubuhkan syarikat di tempat berlindung cukai, firma perkhidmatan korporat juga wajib melakukan penilaian yang wajar (due diligence), antara lain, memeriksa apakah pemohon merupakan orang yang terdedah secara politik atau ada dalam senarai keganasan atau orang yang dikehendaki.

Mereka kemudian perlu mengemukakan serangkaian dokumen untuk bidang kuasa luar pesisir, dan syarikat luar pesisirpun siap tertubuh.

Penilaian wajar lain yang dilakukan termasuk memeriksa apakah cukai sudah dibayar ke atas dana yang dipindahkan, di negara asal.

Dalam kes Newton Invest & Finance Limited (BVI), anak lelaki dan isteri Daim dianggap tidak terdedah secara politik.

Ketika dihubungi oleh ICIJ, Trident Trust, yang berperanan menubuhkan Newton Invest & Finance Limited (BVI) berkata pihaknya tidak dapat memberi komen mengenai pelanggan individu.

"Trident Trust Group adalah penyedia perkhidmatan pentadbiran korporat, dana dan amanah global.

"Setiap perkhidmatan korporat dan amanah Trident diatur dalam bidang kuasa di mana ia beroperasi dan sepenuhnya berkomitmen untuk mematuhi semua peraturan yang berkuatkuasa.

"Trident bekerjasama secara rutin dengan mana-mana pihak berkuasa yang meminta maklumat," katanya.

Singapura di lima negara teratas salur kekayaan ke tempat cukai rendah

Pemeriksaan mendapati trend itu bukan sahaja wujud di kalangan orang kaya dan berkuasa di Malaysia, tetapi juga di seluruh rantau ini melibatkan individu dengan kekayaan besar di negara-negara seperti Filipina dan Thailand menubuhkan syarikat luar pesisir melalui Singapura.

Singapura biasanya bukan tujuan akhir aset kerana tidak menyediakan pakej cukai dan perlindungan aset yang menarik seperti beberapa negara Caribbean, kata perunding cukai itu kepada Malaysiakini.

"Apa yang dapat dilakukan oleh syarikat (kewangan) Singapura adalah membantu mewujudkan kepercayaan di negara-negara dengan rejim cukai yang lebih baik," katanya.

Walaupun wang itu tidak tinggal di Singapura, pengurusan firma di Caribbean menggalakkan industri kewangan di negara berkenaan.

Singapura antara lima negara teratas di dunia yang menyalurkan dana ke negara-negara dengan rejim cukai yang rendah atau tanpa cukai.

Kajian oleh kumpulan penyelidikan Corpnet University of Amsterdam pada tahun 2017 melaporkan Singapura antara lima negara teratas di dunia yang menyalurkan dana ke negara-negara dengan rejim cukai rendah (atau bahkan tidak ada sama sekali) seperti Luxembourg, Cyprus dan Jersey serta Caribbean seperti Kepulauan British Virgin, Bermuda dan Bahamas.

Perkhidmatan pengurusan korporat dan harta Singapura juga disukai di rantau ini atas kepakaran mereka, kata Wayne Soo, seorang akauntan dengan firma perkhidmatan korporat yang berpangkalan di Singapura.

Negara pulau ini juga memiliki berbagai perjanjian perdagangan bebas dengan banyak negara, sehingga lebih mudah dilakukan memberikan perkhidmatan seperti itu, katanya.

"Terdapat banyak institusi kewangan antarabangsa seperti Citibank, Credit Suisse yang berpengkalan di Singapura. Bersama dengan perjanjian perdagangan bebas, ini menguntungkan Singapura,” tambahnya.

Perunding cukai di Malaysia yang pelanggannya ingin menubuhkan entiti luar pesisir juga mengesyorkan Hong Kong, tetapi pergolakan politik di sana baru-baru ini menjadikan Singapura lebih menarik.

Soo berkata, pasaran membuat spekulasi bahawa sekitar AS$40 bilion (RM167.39 bilion) mengalir dari Hong Kong ke Singapura kerana pergolakan itu, tetapi ini tidak pernah disahkan secara rasmi.

"Berkenaan dengan Malaysia, memandangkan isu-isu politik baru-baru ini, saya tidak akan terkejut jika ada aliran tambahan dari Malaysia dan destinasi lain, seperti yang disebut oleh Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) tahun lepas pada salah satu sidang media mereka,” katanya.

Bagaimana firma pemegang amanah luar pesisir selubungi aset

Selain memiliki syarikat luar pesisir, Daim juga menubuhkan beberapa firma pemegang amanah di BVI, Samoa dan Kepulauan Cook melalui firma perkhidmatan korporat Singapura Asiaciti Trust.

Salah satunya disebut ICB Financial Group Holdings Trust, kemungkinan sempena nama Bank Swiss ICB dimiliki oleh Daim.

Benefisiari ialah lima anaknya - Asnida, 60, Aslinda, 47, Md Wira Dani, 43, Muhammad Amir Zainuddin, 26 dan Muhammad Amin Zainuddin, 23.

Ketika ditubuhkan pada tahun 2005, kedua anaknya yang paling kecil itu berumur 10 dan 7 tahun.

ICB Financial Group Holdings Trust dipercayai ditutup pada tahun 2010, menurut rekod Asiaciti Trust yang dilihat.

Iklan oleh Asiaciti Trust, salah satu penyedia perkhidmatan paling popular di Singapura kerana menubuhkan entiti luar pesisir di tempat perlindungan cukai.

Kerahsiaan menjadi alasan utama untuk menubuhkan fima pemegang amanah luar pesisir di tempat-tempat seperti BVI, kerana perincian amanah, termasuk aset dan benefisiari tidak disenaraikan, kata perunding cukai itu kepada Malaysiakini.

"Namun, ini tidak bermaksud ada kerahsiaan yang sempurna. Ini bukan macam filem. Sekiranya kerajaan dapat menunjukkan bukti terdapat pembabitan kegiatan haram, mereka boleh meminta maklumat mengenai firma pemegang amanah itu.

"Negara tempat badan itu berpengkalan kemudian akan menentukan apakah akan melepaskan maklumat tersebut. Ini bermaksud maklumat itu tidak tersedia secara terbuka atau bebas,” katanya.

Perlindungan aset juga merupakan satu tarikan dengan kebanyakan tempat berlindung cukai digunakan untuk melindungi aset daripada penyitaan sekiranya berlaku kemuflisan dan perceraian, kata perunding cukai itu.

“Namun, ini tidak mencegah penyitaan jika dapat dibuktikan bahawa aset yang dimaksudkan adalah haram atau sumber penipuan.

"Sesuatu kes itu mesti diserahkan kepada negara di mana firma pemegang amanah itu didirikan. Proses ini boleh menjadi lama.

"Sekiranya orang itu menubuhkan firma pemegang amanah di Malaysia, maka badan itu tertakluk kepada undang-undang negara dan tekanan kerajaan,” tambahnya.

Sama ada permintaan untuk pendedahan atau penyitaan dibuat oleh pihak berkuasa Malaysia juga bergantung pada pengetahuan mengenai kewujudan aset itu.

Ketika dihubungi, Daim menegaskan yang semua urusan perniagaannya di semua setiap tempat (jurisdiction) adalah sah, dan dia telah mengumpul kekayaan selama lebih 60 tahun sejak memulakan perniagaan pada 1960-an.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) berkata pihaknya tidak bertolak ansur terhadap penyalahgunaan terhadap sistem kewangannya untuk kegiatan haram, dan ia memiliki sistem yang mantap untuk mengesan penyalahgunaan, pengubahan wang haram dan penghindaran cukai.

"MAS tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap individu dan entiti, tanpa mengira kewarganegaraan mereka, jika mereka melanggar undang-undang dan pengawalan yang di bawah pentadbiran MAS."

Ia termasuklah denda berjumlah SG$1.1 juta terhadap Asiaciti Trust kerana melanggar pengawalan antipengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan (AML/CFT) yang telah dibayar penuh syarikat itu, kata MAS lagi.

Kementerian Kewangan Singapura dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Singapura (Iras) pula berkata, regim percukaiannya dibina untuk menarik kegiatan ekonomi, tetapi ia tidak membiarkan amalan menghindari cukai.

"Singapura berkembang maju sebagai pusat kewangan yang dikawal baik, dengan undang-undang yang kuat yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kewangan dengan nilai tambah.

"Kami komited untuk menegakkan piawai antarabangsa untuk membanteras penghindaran cukai dan pengubahan wang haram rentas sempadan," kata jurucakap Kementerian Kewangan Singapura dan Iras.

Sementara itu, ketika dihubungi oleh ICIJ, Asiaciti Trust, firma perkhidmatan korporat Singapura, mengatakan ia bekerja dengan pelanggan di seluruh dunia dan tertakhluk bawah peraturan ketat oleh pihak berkuasa di setiap tempat firmanya beroperasi.

"Kami mengekalkan program pematuhan yang kuat dan setiap pejabat kami telah lulus audit pihak ketiga untuk Amalan Antipengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Namun, tidak ada program pematuhan yang tidak sempurna - dan ketika masalah dikenalpasti, kami mengambil langkah-langkah yang perlu berkaitan dengan penglibatan pelanggan dan membuat pemberitahuan yang sesuai kepada agensi pengawalseliaan," katanya.

Berita berkaitan:

Menteri, ahli politik dan hartawan Malaysia didedah jadi pemilik syarikat pesisir

'Pemegang amanah luar pesisir sah' - Daim kesal 'obsesi' M'kini terhadapnya